Tuesday, November 23, 2010

Kelebihan Qiyamullail

Wahai saudaraku,

Hampirkanlah diri saudara kepada Allah dengan berbagai-bagai solat sunat dan yang paling afdhal ialah qiamullail bertahajjud di tengah-tengah malam tatkala manusia tidur nyenyak, seperti yang ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. yang sabdanya yang bermaksud:
"Semulia-mulia solat setelah solat fardhu ialah solat tahajjud di tengah malam." (HR Muslim)

Perkara yang boleh menolong saudara solat tahajjud ialah niat ikhlas, menghadirkan keazaman, memperbaharui taubat, menjauhi maksiat di siang hari, tidur cepat dan tidur sekejap selepas solat zohor (sekiranya mungkin) dan memohonlah pertolongan dari Allah.

Penting bagi setiap muslim supaya sentiasa bangun malam bertahajjud untuk mengambil bekalan yang istimewa dari solat tahajjud. Rasulullah bersabda kepada Abdullah Ibn Amru Ibnul 'Aas r.a. yang bermaksud:
"Hai Abdullah! Janganlah jadi seperti si pulan atau yang tadinya bersolat tahajjud kemudian dia meninggalkannya (amalan yang tidak berterusan)." - Muttafaq alaihi.

Aisyah r.a. berkata yang bermaksud:
"Adalah solat Rasulullah di waktu malam sepuluh rakaat dan witir satu rakaat dan kemudian dia solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Jadi tiga belas rakaat (semuanya)".

Sesungguhnya keseronokan, kelazatan dan kebahagiaan yang sejati yang tidak dapat digambarkan yang terdapat di dalam qiamullail dan munajat dengan Allah itu telah menghilangkan segala penat tubuh badan dan keletihan kerana berdiri dengan tapak kaki bertahajjud.

Rasulullah bangun bertahajjud dan berdiri begitu lama sehingga bengkak-bengkak kakinya tetapi sedikitpun baginda tidak merasa susah dan penat kerana baginda telah karam dalam lautan cinta kepada Allah dan merasa seronok serta enak menghampiri Allah dan berbisik-bisik dengan Allah.

Para solehin pernah berkata yang bermaksud:
"Tidak ada nikmat di dunia yang menyerupai nikmat syurga kecuali nikmat yang ada di dalam qiamullail, bertahajjud di tengah-tengah malam yang hanya dirasai oleh orang-orang bertahajjud. Marilah kita bersungguh-sungguh bertahajjud supaya kita juga merasai nikmat dan bahagia yang sedemikian."

Rujukan:

Mustafa Masyhur, Bekalan Di Dalam Perjalanan Dakwah (Zadun 'Ala At Tariq) , terjemahan Hj Mohd Tahir Daeng Mengati, Pustaka Salam, Kuala Lumpur, 1985.

No comments:

Post a Comment