Monday, November 01, 2010

Sifat Manusia Yang Suka Kepada Populariti

Jalan menuju populariti adalah jalan yang penuh dengan batu-batu tajam, ranjau dan duri yang mengakibatkan malapetaka bagi orang yang tidak berwaspada. Oleh kerana itulah Rasulullah menyarankan kepada kita bersikap tawadhu’ dan meninggalkan keinginan untuk meraih populariti. Berikut ini dinyatakan beberapa sifat manusia yang mengejar populariti dunia:-

i. Cinta Dunia

Orang yang mengejar populariti duniawi akan merasa senang bila berhasil meraih apa yang diinginkannya. Namun jika gagal dia akan marah. Rasulullah bersabda, “Celakalah budak dinar, celakalah budak dirham, celakalah budak perut, celakalah budak sutera. Jika diberi dia redha. Jika tidak diberi, dia marah. Celaka dan hinalah dirinya. Apabila tertusuk duri, maka ia tidak mampu mencabutnya.

Beruntunglah seorang hamba yang mengambil tali kekang kudanya untuk berjihad di jalan Allah. Rambutnya kusut, kedua kakinya berdebu. Jika ditempatkan di pos pertahanan dia sentiasa bersedia. Jika ditempatkan di belakang pasukan, dia sentiasa berada di belakang pasukan. Jika meminta izin, ia tidak diizinkan. Dan jika memberi pandangan, pandangannya ditolak.” (HR Bukhari)

ii. Riya’

Orang yang mengejar populariti seringkali berbuat kebaikan kerana ingin dilihat orang supaya dipuji dan mendapat penilaian yang baik dari mereka. Padahal tindakan ini boleh menyebabkan dia mensyirikkan Allah dan membuatkan amalannya ditolak serta mendapat kehinaan dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

“Barangsiapa solat kerana riya’ maka dia telah melakukan syirik. Barangsiapa berpuasa kerana riya’, maka ia telah melakukan syirik. Barangsiapa bersedekah kerana riya’, maka ia telah melakukan syirik. Sesungguhnya Allah ‘AzzawaJalla berfirman, “Aku adalah sebaik-baik pemberi bagi orang yang menyekutukan Aku dengan yang lain. Jasad dan amalannya – sedikit atau banyak – akan Aku berikan kepada sekutu yang telah dijadikannya sebagai tandingannya untuk-Ku, kerana Aku tidak memerlukannya sedikitpun,” (HR Ahmad)

iii. Bangga Diri dan Bermegah-megah

Seringkali seseorang yang meraih populariti dan reputasi berbangga dengan diri sendiri dan bermegah-megah dengan bangunan, kenderaan dan harta kekayaan untuk menunjukkan kejayaan yang dicapai.

Rasulullah bersabda, “Ada tiga hal yang membinasakan; hawa nafsu yang dituruti, kebakhilan yang diikuti, dan kebanggaan seseorang pada diri sendiri, dan inilah yang paling berbahaya,” (HR Baihaqi)

Firman Allah yang bermaksud:

“Bermegah-megah telah melalaikan kamu. Sampai kamu masuk ke dalam kubur. Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui (akibat perbuatanmu itu). Dan janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui. Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin. Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim. Sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yakin (melihat dengan mata kepala sendiri). Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu tentang nikmat (yang kamu megah-megahkan di dunia itu).”
(Surah At Takatsur: 1 – 8)

iv. Hasad

Orang yang mengharapkan reputasi dan populariti duniawi seringkali merasa iri hati dan dengki kepada orang lain yang dianggap lebih popular dan lebih berjaya dari dirinya. Rasa iri hati dan dengki ini akan membakar hati dan akan melakukan apa sahaja untuk mengatasi pesaingnya walaupun terpaksa menggunakan cara yang diharamkan.

Sabda Rasulullah, “Jauhilah iri dan dengki, kerana iri dan dengki boleh memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu api.” (HR Abu Daud)

Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri kita untuk melawan penyakit hati seperti yang diterangkan di atas agar amalan kita tidak menjadi sia-sia. Kita bukan sahaja memerlukan antibodi untuk melawan penyakit fizikal tetapi memerlukan juga kekuatan atau 'antibodi' melawan penyakit hati. Penyakit hati lebih merbahaya kerana ia mengakibatkan pengidapnya menderita di dunia dan akhirat. Fikir-fikirkanlah....

Rujukan:

Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Da’awiyah – Teladan Aplikatif Dakwah Rasulullah, Bina Insani Press Solo, September 2006.

No comments:

Post a Comment