Thursday, April 02, 2009

Nasihat Mu’adz Bin Jabal – Kepentingan Ilmu

Abu Nu’aim mengeluarkan perkhabaran di dalam kitabnya Al-Hilyah dari Mu’adz Bin Jabal R.A. telah berkata: “Belajarlah ilmu kerana natijahnya membawa kita takutkan Allah. Manakala menuntut ilmu itu pula sebagai ibadah, mengulangkajinya adalah sebagai tasbih. Berusaha mencarinya adalah sebagai jihad. Mempelajarinya bagi orang yang belum mengetahuinya adalah sebagai sadaqah. Perbelanjaan untuk menuntutnya adalah sebagai bertaqarrub dan mendekatkan diri kepada Allah kerana ilmu itu adalah batu-batu tanda kepada halal dan haram. Ianya sebagai menara rumah api menyuluh jalan kepada penghuni-penghuni syurga. Ilmu adalah teman diketika kesunyian, kawan diperantauan, pembicara di masa kesepian, petunjuk di waktu kesusahan dan kesenangan. Ianya senjata menentang musuh, hiasan di hadapan kawan.

Dengan ilmu Allah mengangkat darjat sesuatu kaum menjadikan mereka sebagai penganjur dan pimpinan di masa kesejahteraan, teladan peninggalan mereka dipungut, amalan tindakan mereka diteladani, pendapat mereka adalah kata putus.

Setiap yang kering dan basah hinggakan ikan-ikan dilautan memohon keampunan untuk mereka yang belajar. Berbahagialah golongan yang menerimanya dan celakalah golongan yang menolaknya.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 86-87.]

No comments:

Post a Comment