Monday, April 20, 2009

Peperangan Balat al Shuhada’

Pada akhir bulan Sha’ban tahun ke 104 H Abdul Rahman Al Ghafiqi (seorang panglima agung Islam yang memerintah bumi Andalus di zaman kegemilangan Islam), bersama tenteranya yang gagah perkasa mara menuju ke Kota Poitiers. Di sinilah mereka bertemu dengan angkatan tentera Eropah yang dipimpin oleh Charles Martel. Berlakulah pertempuran sengit yang membuka lembaran baru bukan sahaja dalam sejarah umat Islam atau Eropah malah manusia seluruhnya. Peperangan ini dikenali sebagai peperangan Balat al Shuhada’.

Walaupun pada ketika itu, tentera Islam berada di kemuncak kemenangan yang amat membanggakan. Namun bebanan yang ditanggung kini semakin berat akibat harta perolehan perang yang mencurah-curah ibarat hujan, bertimbun di tangan tentera Islam.

Abdul Rahman Al Ghafiqi melihat segala kekayaan yang melimpah ruah ini dengan penuh kebimbangan dan takut. Abdul Rahman bimbang harta ini bakal menggugatkan kekuatan umat Islam . Beliau bimbang harta ini akan mengganggu hati mereka ketika bertemu musuh. Hati mereka mungkin berbelah bahagi jika sesuatu keburukan menimpa mereka. Mereka mungkin melihat musuh dengan sebelah mata sementara mata satu lagi sibuk melihat harta milik mereka.

Oleh itu beliau berhasrat untuk mengarahkan tenteranya membuang sahaja segala harta yang bertimbun ini tetapi beliau takut tindakan itu tidak diterima oleh mereka. Mereka mungkin tidak bersedia untuk menyerahkan segala kekayaan ini. Jadi hanya satu sahaja pilihan yang terbaik iaitu mengumpulkan semua harta ini dalam satu khemah khas. Khemah ini ditempatkan di bahagian belakang markas sebelum sesuatu peperangan meletus.

Selama beberapa hari, kedua-dua belah pihak angkatan tentera ini saling berhadapan dengan penuh tenang. Dalam diam-diam, masing-masing memerhati antara satu sama lain ibarat dua banjaran gunung yang saling berhadapan. Masing-masing merasa bimbang dengan kekuatan lawan dan mengambil pelbagai perhitungan sebelum memulakan serangan.

Keadaan ini berlangsung beberapa lama. Akhirnya melihat kepada semangat tentaranya yang berkobar-kobar untuk mara, Abdul Rahman Al Ghafiqi mengambil keputusan untuk memulakan dahulu serangan dengan bergantung sepenuhnya kelebihan yang dimiliki oleh tenteranya dan keyakinannya bahawa kemenangan akan memihak kepadanya.

Abdul Rahman Al Ghafiqi bersama tentera berkudanya melancarkan serangan ke barisan musuh ibarat singa yang mengganas. Tentera Perancis pula membalas serangan ini dengan semangat yang tinggi ibarat gunung.

Hari pertama dalam peperangan ini tidak memihak kepada mana-mana pihak. Hanya kegelapan malam sahaja yang mampu menghentikan peperangan hari itu. Hari berikutnya, peperangan kembali meletus. Umat Islam melancarkan serangan hebat ke atas tentera Eropah. Namun mereka masih gagal untuk mencapai matlamat mereka.

Peperangan kini berlanjutan selama tujuh hari dan masa terasa bergerak terlalu lambat. Pada hari kelapan, umat Islam melancarkan serangan besar-besaran ke atas musuh. Mereka berjaya membuka ruang yang besar di pihak musuh, seolah-olah mereka dapat melihat kemenangan melalui ruang ini ibarat cahaya mentari yang mencelah kegelapan subuh.

Namun dalam masa yang sama, sekumpulan pasukan musuh telah melancarkan serangan hendap ke atas khemah harta perolehan perang milik tentera Islam. Apabila melihat harta mereka diserang dan hampir jatuh ke tangan musuh, kebanyakan tentera Islam mula berundur ke belakang untuk menyelamatkan harta masing-masing. Tindakan ini menyebabkan barisan serangan mereka porak peranda dan kekuatan mereka mula goyah.

Panglima agung tentera ini, kini terpaksa bertindak pantas untuk mengerahkan kembali tentera yang berundur ini sambil terpaksa menahan serangan musuh dan menutup ruang yang terbuka. Dalam keadaan ini, pahlawan Islam yang agung, Abdul Rahman Al Ghafiqi terpaksa memacu kudanya ke hadapan dan ke belakang. Ketika itulah beliau terkena panahan musuh yang menyebabkannya rebah ke bumi ibarat helang yang gugur dari puncak gunung. Rebah syahid di medan peperangan.

Apabila melihat malapetaka ini, umat Islam mula diserang rasa takut dan goyah. Ditambah pula dengan serangan hebat oleh musuh. Kegelapan malam sahaja yang mampu menyelamatkan mereka.

Menjelang pagi, Charles Martel mendapati seluruh tentera Islam telahpun berundur daripada Poitiers. Walau bagaimanapun, Charles tidak berani untuk mengejar mereka. Sedangkan, jika dia mengejar, dia boleh memusnahkan mereka. Charles sebenarnya takut pengunduran ini hanyalah sebahagian daripada taktik perang yang terancang. Jadi, Charles mengambil keputusan untuk kekal sahaja dan berpuas hati dengan kemenangan besar yang telah diperolehinya.

Peperangan Balat Al Shuhada’ ini merupakan hari penting dalam sejarah. Pada hari tersebut, umat Islam gagal mencapai impian besar yang dicitakan selama ini. Malah mereka kehilangan seorang pahlawan agung. Tradegi Uhud berulang kembali. Inilah sunnah Allah di alam semesta ini dan sunnah ini tidak mungkin dapat diubah.

Menurut cendikiawan Eropah, kemenangan datuk nenek mereka mengalahkan umat Islam di Poitiers merupakan satu bencana besar yang merugikan seluruh bangsa manusia.

Suatu kerugian yang terpaksa ditanggung oleh Eropah. Suatu bencana yang memalapkan suatu tamadun. Henry De Shamboone, Pengarah Majalah Rivi Barlmintier berbahasa Perancis pernah menyebut tentang malapetaka di Balat Al Shuhada’ ini:
”Jika Charles Martel tidak mencapai kemenangan ke atas umat Islam, sudah tentu negara kita tidak terjerumus ke dalam zaman kegelapan di kurun pertengahan. Jika Charles tidak menang, sudah tentu kita tidak akan merasai kedahsyatan zaman itu. Sudah tentu tidak akan berlaku peperangan saudara yang disebabkan oleh fanatik agama kemazhaban.”

”Benar, jika tidak kerana kemenangan barbarian ke atas umat Islam di Poitiers itu, sudah tentu Sepanyol masih menikmati keadilan Islam. Sudah tentu Sepanyol akan terselamat daripada Mahkamah Taftish (mahkamah yang diwujudkan oleh Ferdinand dan Ratu Isabella untuk menghukum umat Islam Sepanyol dan memahat sejarah hitam bangsa manusia). Sudah tentu perjalanan tamadun manusia tidak akan terbantut selama lapan kurun.”

”Walau apa sekalipun perasaan kita terhadap kemenangan ini, kita sebenarnya masih berhutang budi kepada umat Islam yang telah banyak berjasa kepada tamadun ilmu, teknologi dan industri kita. Kita perlu mengakui bahawa mereka adalah contoh manusia yang unggul. Dalam masa yang sama kita adalah contoh manusia barbarian,”

”Apa yang kita dakwa hari ini bahawa zaman telah kembali berulang adalah suatu pembohongan. Termasuklah juga dakwaan kita bahawa umat Islam di zaman ini sama seperti keadaan kita di zaman pertengahan.”
[Petikan dari 37 Kisah Kehidupan Tabi’in 1 Dr Abdul Rahman Ra’fat al Basha, terjemahan Ustaz Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Batu Caves, Kuala Lumpur, Jun 2003, p 22-25.]

No comments:

Post a Comment