Thursday, April 02, 2009

Nasihat Abu Darda’ – Kepentingan Ilmu

Ibnu ‘Abd Al Bar menerbitkan suatu perkhabaran di dalam kitab Jami’nya dari periwayatan Humaid dari Al Hasan, bahawa Abu Al Darda’ R.A. telah berkata: “Jadilah seorang alim atau pelajar atau mencintai ilmu atau pengikut seorang alim dan jangan pula jadi orang yang kelima kelak kau akan binasa.”
Kemudian aku bertanya kepada al Hasan: “Siapakah yang kelima itu?”
Jawab Al Hasan: “Beliau itu adalah pembuat bid’ah.”

Abu Nu’aim pula mengeluarkan perkhabaran di dalam kitabnya Al Hilyah dari periwayatan Ad Dhahhak yang berkata: Abu Darda’ telah berkata: Wahai penduduk Damsyik! Kamu adalah saudara seagama. Kamu adalah jiran tetangga, pembantu menentang musuh, lantaran apakah yang menyekat kamu untuk berkasih sayang denganku? Namun makananku bukan kamu menanggung bebannya. Kenapa ku dapati alim ulama kamu berlalu saja (tidak berperanan sebagai ulama serta tidak melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah), sedang orang-orang jahil kamu pula tidak mahu belajar? Kenapa aku melihat kamu ini berlumba-lumba pada perkara yang sudahpun dijamin pemberiannya kepada kamu (menghabiskan sebahagian besar hidup dengan mencari nafkah dan kesenangan dunia), tetapi kamu meninggalkan apa yang diperintahkan kepada kamu.

Apakah halnya ini? Ramai dari kamu yang bersungguh-sungguh mengumpul harta kekayaan, berangan-angan panjang, hingga kediaman mereka menjadi kubur-kubur persemadian. Angan-angan mereka memperdayakan mereka, harta longgokan mereka menjadi hancur lebur. Tidakkah sebaik-baiknya kamu belajar kemudiannya mengajar kerana yang mengajar dan belajar sama-sama mendapat ganjaran yang sama. Sebenarnya tidak ada kebaikan selain dari dua jenis manusia ini.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 88-89.]

No comments:

Post a Comment