Monday, April 20, 2009

Abdul Rahman Al Ghafiqi

Abdul Rahman Al Ghafiqi seorang panglima agung Islam yang memerintah bumi Andalus di zaman kegemilangan Islam, pada suatu hari menjemput seorang tokoh ahli zimmi yang merupakan penduduk asal Perancis. Beliau kemudiannya menimbulkan satu persoalan: “ Mengapa raja kamu, Charles Martel tidak cuba menyerang kami atau tidak cuba membantu pemerintah-pemerintah wilayah untuk menyerang kami?”

Dengan tenang ahli zimmi itu menjawab: “Wahai gabenor, oleh kerana engkau telah tunaikan segala janjimu kepada kami, kini menjadi tanggungjawab saya pula untuk memberikan jawapan yang jujur kepada soalan engkau itu.”

[Janji Abdul Rahman Al Ghafiqi ialah “sesiapa sahaja yang dizalimi oleh mana-mana pemerintah atau hakim atau oleh sesiapa sahaja, hendaklah membuat aduan kepada gabenor.” Dalam usahanya ini, beliau tidak membezakan antara orang Islam dan ahli zimmi.

Beliau seterusnya meneliti setiap aduan satu persatu dan mengembalikan hak yang dirampas kepada orang yang lemah tanpa memihak kepada mereka yang berkuasa. Beliau kemudiannya menghukum orang yang zalim bagi pihak mereka yang dizalimi

Masalah gereja-gereja yang telah dirampas dan yang baru dibina juga diteliti. Gereja-gereja ini dikembalikan semula kepada pemiliknya menurut perjanjian yang sah. Manakala gereja-gereja yang ada kaitan dengan rasuah akan dimusnahkan

Setelah itu beliau meninjau pula setiap pegawainya seorang demi seorang. Mana-mana pegawai yang didapati tidak amanah dan menyeleweng akan dipecat dan tempatnya diganti pegawai yang diyakini kebijaksanaan dan kelayakannya
]

Kata ahli zimmi itu lagi, “Pemimpin kamu, Musa bin Nusair telah mengukuhkan cengkamannya di Sepanyol, kemudian dia mula mengalihkan tumpuan untuk menakluk Pergunungan Pyrennes yang memisahkan dengan negeri kami yang indah.”

Ahli zimmi menyambung: “Apabila mengetahui hasrat tersebut pemerintah wilayah dan paderi mengadu kepada raja kami: “Tuanku, telah sekian lama kami dan anak cucu kami menanggung kesedihan. Semenjak sekian lama kami dengar mengenai umat Islam. Kami bimbang mereka akan menyerang kami dari arah timur tetapi kini mereka mara ke arah kami dari arah barat. Mereka telah menakluk seluruh Sepanyol dan memiliki seluruh kelengkapan yang ada di sana. Selepas itu mereka berjaya pula menakluk gunung yang memisahkan kami dengan mereka. Sedang bilangan mereka sedikit. Kebanyakan mereka tidak mempunyai perisai untuk mempertahankan diri daripada hayunan pedang. Mereka juga tidak mempunyai kuda untuk digunakan di medan perang.”

Raja mereka melepaskan pandangannya jauh-jauh lalu berkata: ”Saya telah teliti sedalam-dalamnya masalah yang kamu fikirkan itu dan saya telah berfikir panjang. Saya berpendapat kita tidak boleh menyekat serangan mereka kali ini. Mereka kini ibarat air bah yang menelan apa saja yang menghalang arusnya. Malah arus ini akan menghanyutkan segala-segalanya.”

”Saya melihat mereka ini adalah manusia yang mempunyai pegangan dan keikhlasan. Dengan dua perkara ini mereka tidak memerlukan jumlah yang ramai atau senjata yang cukup. Mereka mempunyai keyakinan dan kejujuran yang sudah cukup untuk menggantikan perisai dan kuda.”

”Kita akan tunggu hingga mereka mula mengaut kekayaan. Apabila mereka mula memiliki rumah dan istana. Apabila mereka mula bersaing memiliki amah dan khadam. Apabila mereka mula berlumba untuk merebut kuasa. Ketika itu kita akan berjaya kalahkan mereka dengan cara yang sangat mudah tanpa perlu bersusah payah”.

Abdul Rahman Al Ghafiqi tertunduk hiba mendengar kata-kata itu. Dia mengeluh panjang lalu bangun: ”Marilah kita sembahyang kerana waktu sudah hampir tiba.”

[Petikan dari 37 Kisah Kehidupan Tabi’in 1 Dr Abdul Rahman Ra’fat al Basha, terjemahan Ustaz Salehan Bin Ayub, Pustaka Salam Sdn Bhd, Batu Caves, Kuala Lumpur, Jun 2003, p 13-14.]

No comments:

Post a Comment