Thursday, April 02, 2009

Nasihat Abdullah Bin Mas’ud

Abu Nu’aim telah mengeluarkan suatu perkhabaran dalam kitabnya Al-Hilyah, dari Abdul Rahman Bin Abdullah Bin Mas’ud dari bapanya yang telah berkata, bahawa bapanya telah didatangi seorang lelaki dan berkata: “Wahai Abu Abdul Rahman, ajarkanlah aku kata-kata yang padat dengan manfa’atnya.”

Maka kata Abu Abdul Rahman: “Sembahlah Allah dan jangan kau mempersekutukanNya. Susurilah bersama Al Quran ke mana saja Al Quran mengalir (mematuhi ajaran Al Quran). Terimalah kebenaran walau dari sesiapa sahaja yang membawanya, walaupun dari seorang yang jauh dan tidak disenangi dan tolaklah segala kebatilan walaupun ianya datang dari orang yang tercinta dan terdekat denganmu.”

Abu Nu’aim mengeluarkan suatu lagi perkhabaran dari Ibnu Mas’ud yang berpesan: “Jangan sesekali seseorang dari kalangan kamu menjadi imma’ah (sekejap ke sana, sekejap ke sini – tiada pendirian).”

Maka yang hadir pun bertanya: “Apa itu imma’ah?”
Lalu jawab Abu Abdul Rahman: “Imma’ah ialah di mana seseorang akan berkata, aku bersama dengan orang ramai, sekiranya mereka lurus aku pun lurus dan kalau orang ramai sesat, maka aku pun sesat juga. Tetapi perkemaskanlah pendirian kamu. Seandainya orang ramai kufur, janganlah kamu ikut mereka.”

Katanya juga: “Ada orang berkehendakkan dunia dengan merosakkan (tidak mempedulikan kehidupan) akhirat dan ada orang berkehendakkan akhirat dengan merosakkan (tidak mementingkan kehidupan) dunia ini. Wahai sekelian manusia, musnahkanlah (jangan mementingkan) yang sementara dan fana’ itu dengan mencapai (mengutamakan) yang abadi dan kekal.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 76-77.]

No comments:

Post a Comment