Monday, March 30, 2009

Perbaharuilah Iman Kamu


Para sahabat Rasulullah mengambil berat di dalam mendidik diri mereka sendiri. Sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti pentarbiahan (pendidikan). Sudah menjadi kebiasaan sesetengahnya di kalangan mereka meminta bantuan dari setengah yang lain untuk membuat teguran dan nasihat terhadap diri mereka, dalam rangka amar ma’ruf dan nahi mungkar serta sentiasa berhimpun kerana Allah.

Ibnu Abu Syaibah telah mengeluarkan sebuah hadith dari Abu Dzar Radiyallahu ‘anhu, dengan katanya: Pernah Umar memegang tangan seorang dua sahabat sambil menyeru kepada mereka:” Ayuh, kita tingkatkan iman, “Lantas mereka melakukan zikrullah ‘Azza wa Jalla.

Al Tayasi telah meriwayatkan hadith dari Abi Darda’ dengan katanya: Pernah ‘Abdullah bin Rawahah Radiyallahu ‘anhu memegang tanganku sambil berkata: “Ayuh, kita tingkatkan keimanan kerana sebenarnya hati ini cepat berubah, lebih cepat dari kawah yang menggelegak.”

Al Imam Ahmad dan Al Tabrani telah meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu dengan katanya: “Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Perbaharuilah iman kamu.”
Mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bagaimana kami hendak memperbaharui iman kami?”
Jawab Rasulullah S.A.W.: “ Perbanyakkan menyebut kalimah La Ilaha Illallah.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 24-25.]

No comments:

Post a Comment