Monday, March 30, 2009

Beriman Dengan Qada dan Qadar

Para sahabat merupakan seagung-agung menusia yang beriman dengan rukun qada’ dan qadar, seutuh keyakinan dan selebar pegangan mereka dengan qada’ dan qadar.

Al Imam Ahmad bin Hanbal telah mengeluarkan sebuah hadith dari Al Walid Bin Ubaddah yang telah berkata: “Aku menziarahi bapaku, Ubaddah R.A. semasa beliau sakit, sedang aku memikirkan mengenai kematian. Aku berkata: “Wahai bapaku, berilah pesanan yang sebenarnya untuk aku.”

Lalu bapaku berkata: “Bangunkan aku untuk duduk.” Setelah didudukkan, maka dia menyambung: “Wahai anakku, sesungguhnya kau tidak akan merasai keenakan iman dan kau tidak akan mencapai dengan sebenarnya erti ilmu dengan Allah, hinggalah kau benar-benar beriman dengan qadar baik dan burukNya.”

Aku bertanya: “Wahai bapaku, bagaimana cara untukku ketahui apakah qadar yang baik dan qadar yang buruk?”

Lalu jawabnya: “Ketahuilah, bahawa keburukan yang terletak darimu itu memang ditaqdirkan tidak kena padamu dan apa yang mengenamu itu adalah taqdir yang tidak akan terelak olehmu. Wahai anakku, sesungguhnya aku pernah mendengar Rasululullah S.A.W. bersabda: “Kejadian pertama ialah Allah mencipta Al-Qalam. Kemudian Allah berfirman kepada Al Qalam: “Tulislah.” Maka dari sa’at itu tertulislah segala apa yang wujud hinggalah ke hari qiamat. Wahai anakku, sekiranya kau mati dan tidak pula beriman dengan itu, masuklah kau ke dalam neraka.”

Inilah iman yang menjadikan mereka (para sahabat Rasulullah) manusia yang begitu berani di bumi ini, makhluk yang begitu zuhud di alam ini dan insan pemurah di semesta ini. Itulah rahsia ungkapan Ubaddah tadi bahawa, apa yang terelak dari kita itu memang ditaqdirkan tidak mengena dan apa yang mengena itu adalah taqdir yang tidak akan terelak oleh kita. Betapa agungnya hadith yang penuh hikmah dan rahsia ini.

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 25-26.]

No comments:

Post a Comment