Monday, March 30, 2009

Al Quran – Pemberi Syafaat

Di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Bacalah Al Quran kerana ianya akan datang di hari qiamat nanti sebagai pemberi syafaat untuk pembacanya.”

Manakala di dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan At-Tirmidzi:
“Tidak berkumpul satu kaum di mana-mana rumah Allah, mereka membaca kitab Allah, mengkaji sesama mereka kecuali terturunlah ke atas mereka ketenangan . Dan dipayungi mereka akan rahmat, dan Allah menyebut mereka golongan yang berada di sisiNya."
Lantaran kesemuanya ini, para sahabat R.A. mengagungkan kalam Allah (Al Quran), kerananya mereka sanggup berjaga malam, berdahaga di siang hari. Diceritakan kisah pelik-pelik mengenai kesungguhan mereka terhadap Al Quran dan kecintaan mereka kepadanya.

Ibnu Hibban telah meriwayatkan sebuah hadith dari Abu Dzar R.A. dengan berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatkan aku.”
Maka sabda Rasulullah S.A.W. :”Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah kerana itu adalah kepala segala urusan.”
Kataku lagi: “Tambahkan lagi, wahai Rasulullah.”
Maka sabda Baginda: “Hendaklah kamu membaca Al Quran kerana membacanya adalah cahaya untuk kamu di dunia ini dan sebagai bekalan di akhirat nanti.”

[Petikan dari buku Suri Teladan Kehidupan Para Sahabat (Radiyallahu ‘Anhum), Dr ‘Ali Shurbaji, terjemahan Ustadh Mohd Darus Senawi ‘Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, Selangor, 2009, p 46-47.]

No comments:

Post a Comment