Wednesday, August 17, 2011

Bahaya Kekenyangan

Rasulullah bersabda: ”Tidak ada yang lebih buruk dari keturunan Adam kecuali ketika memenuhi perutnya, padahal cukup bagi keturunan Adam beberapa suap untuk meluruskan tulang punggungnya, dan jika tidak mungkin makan sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk dirinya.”

Dari Abu Juhaifah r.a. ia berkata: “Aku makan roti gandum dicampur dengan minyak daging, kemudian aku datang kepada Rasulullah s.a.w. tanpa diduga aku bersendawa di hadapannya, kemudian baginda berkata: ”Tahan atau tutup sendawamu, kerana orang yang paling kenyang di dunia adalah orang yang paling kelaparan pada hari akhirat.”

Al Halimi berkata: ”Setiap makanan, walaupun halal tidak semestinya seseorang harus memakannya, sehingga memberatkan badan, cenderung mendorongnya untuk tidur, dan menghalanginya untuk beribadah. Namun makanlah sekadar menghilangkan lapar, dan jadikan pula tujuan dari makannya adalah agar ia menjadi kuat ketika beribadah. (Syabul Iman 5/22)

Manfaat Rasa Lapar dan Penyakit Kekenyangan

Imam Ghazali banyak menyebut tentang manfaat rasa lapar serta beberapa penyakit yang timbul kerana kekenyangan di antaranya:

i. hati menjadi bersih dan pandangan menjadi ’alert’ (berhati-hati/ berwaspada)

Kekenyangan mewariskan kebodohan, memberatkan hati, bahkan anak kecil yang membuat hafazan akan menjadi lembab dan fikirannya bercelaru.

Luqman berkata kepada anaknya: ”wahai anakku! Jika kamu mengisi perutmu maka fikiranmu akan tertidur, hikmah akan hilang dan anggota badan akan terhenti dari aktiviti ibadah.”

ii. Hati akan lembut

Hati merasai kelazatan berzikir. Berbeza apabila badan kekenyangan walaupun lisan berzikir tetapi hati tidak merasa lazat dan tidak dipengaruhi oleh zikir disebabkan kekerasan hati.

iii. Merasa hina diri di hadapan Allah

Rasa lapar akan membuatkan hilang perasaan sombong, bangga diri dan jauh dari sifat jahat yang menjadi pangkal kelalaian dan kedurhakaan kepada Allah.

Rasa kenyang akan membuatkan hati tidak mampu untuk berserah dan merasa hina di hadapan Allah.

Namun semuanya akan tunduk oleh rasa lapar, ketika lapar hatinya akan menjadi tenang dengan Tuhannya, khusyuk dn mengakui kelemahan dan kehinaan diri.

iv. Mampu mengalahkan nafsu syahwat maksiat secara keseluruhan dan menguasai perasaan marah.

Sumber segala maksiat ialah syahwat. Kekuatan syahwat akan meningkat dengan meningkatnya rasa kekenyangan dan banyak makan.

Mengurangkan makan akan membuatkan nafsu syahwat dilemahkan.

Hakikat kebahagiaan adalah ketika seseorang mampu menguasai dirinya, sedangkan kesengsaraan adalah ketika dirinya menguasainya.

Aisyah berkata: ”Bida’ah yang pertama selepas kewafatan Rasulullah ialah kenyang, sesungguhnya jika sesuatu kaum, perut mereka telah kekenyangan maka diri mereka akan tertarik kepada dunia ini.”

v. Melawan tidur kerana orang yang kekenyangan akan banyak minum air dan tidurnya pun banyak.

Orang yang kekenyangan akan banyak tidur.

Banyak makan akan banyak minum dan banyak tidur.

Kita berjual beli dengan umur kita. Kalau kita tidur seolah kita mati dan umur kita semakin berkurangan. Banyak tidur akan mengurangkan masa untuk beribadah seperti solat tahajjud dan hati menjadi keras dan dungu.

vi. Sedikit makan badan akan menjadi sihat.

Sumber penyakit adalah makanan. Apabila sakit tidak boleh banyak melakukan ibadah, berzikir dan bertafakur. Memerlukan ubat dan doktor serta menambahkan perbelanjaan perubatan

vii. Meringan beban

Orang yang kurang makan akan lebih banyak berjimat. Manakala orang yang biasa kenyang akan selalu memenuhi perut dengan makan dan akan banyak berbelanja membeli makanan.

Saidina Umar berkata dalam khutbah: ”Hati-hati kalian terhadap bahaya perut, kerana ia penyebab malas menunaikan solat dan menyakiti tubuh. Perhatikanlah kekuatan kalian, kerana ia menjauhkan bersuka ria dengan melewati batas. Ia lebih sihat bagi tubuh, lebih kuat untuk beribadah dan seseorang sesungguhnya tidak akan binasa kecuali sampai syahwatnya mempengaruhi atas agamanya.

Luqman Al Hakim berkata kepada anaknya jangan makan sesuatu dalam keadaan perut kekenyangan. Memberi makanan kepada seekor anjing lebih baik daripada makan dalam keadaan kenyang.

Abdul Wahid Ibn Zaid berkata: ”Barang siapa yang kuat menahan lapar perutnya, ia kuat terhadap agamanya. Siapa yang kuat menahan lapar perutnya, ia juga kuat atas akhlak yang soleh, dan bagi siapa yang tidak mengetahui kemudaratan dalam agamanya dalam hal urusan perut, maka itulah seorang lelaki tukang ibadah yang buta (Ruhbanullail, 2/221)

Rujukan:

Magdy Al Helaly, Faith First Dahulukan Iman, terjemahan Mustaqim, Pustaka Nuun, Semarang, 2009

1 comment: