Saturday, August 06, 2011

Kelebihan Berjihad Dengan Harta

Jihad bermakna berusaha bersungguh –sungguh untuk menegakkan Islam dengan menempuh apa saja halangan tanpa henti. Pengertian jihad sangat luas. Salah satu daripada juzuk jihad ialah jihad dengan harta. Jihad dengan harta begitu nyata disebutkan di dalam Al-Quran.


Bagi orang mukmin , jihad harta memberikan peluang untuk mendapat keampunan Allah swt. Harta sebenarnya milik Allah swt. Hakikatnya Allah pinjamkan harta kepada hamba2Nya sebagai modal untuk beribadah dan berniaga dengan Allah swt.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Hai orang2 yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada api yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa2mu dan memasukkanmu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai2, dan ( memasukkan mu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adnin. Itulah keberuntungan yang besar.” (Al-Saff: 10-12)


Dalam ayat di atas, Allah swt gunakan konsep perniagaan. Pada asalnya harta adalah milik Allah swt jua. Tetapi Allah berikan keizinan kepada manusia untuk menguruskannya.


Firman Allah swt lagi


“ Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang2 mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itulah janji yang benar daripada Allah di dalam taurat, injil dan Al-Quran . Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Al-Taubah:111)


Konsep Harta


Harta adalah alat atau modal untuk beribadah kepada Allah swt . Harta boleh dijadikan alat untuk infaq (membelanjakan harta) dengan berbagai cara seperti berzakat, bersedeqah jariah dan seumpamanya.


Bukanlah dinamakan ibadah setakat rukuk dan sujud sahaja. Tetapi ibadah itu merangkumi beriman kepada Allah, Hari Akhirat, Malaikat dan mengeluarkan harta di jalan Allah swt. Hasan Al- Banna dalam menjelaskan tentang tasawwur Islam menyatakan Islam juga adalah usaha dan harta.


Harta bukan sebagai matlamat tetapi sebagai wasilah untuk mencapai matlamat mardhotillah. Carilah harta yang banyak tetapi gunakanlah untuk beramal soleh.


Hadis Rasulullah SAW menerangkan bahawa harta yang baik adalah bagi lelaki yang baik. Ini bermakna harta itu perlu ada di tangan orang mukmin. Kalau tidak kena caranyaharta akan merosakkan kita.


Ingatlah hari kematian kita agar kita tidak tamakkan harta. Allah berfirman dalam surah Al-Munafiqun:10-11


"Dan infaqkanlah sebahagian daripada apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum kematian datangkepada salah seorang daripada kamu, lalu dia berkata denagn menyesal:"wahai tuhanku,sekiranya Engkau berkenan menunda kematiansedikit waktu lagi, maka aku pasti akan bersedeqah dan aku akan termasuk orang2 yang soleh. Dan Allah tidak akan menunda kematian seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan."


Ingatlah akan kubur kita yang mana kita kan meninggalkan semua harta kekayaan dan akan membawa bersama hanya sehelai kain putih. Sekiranya kita pemurah, mudah2an kubur akan menjadi satu taman syurga. Jika kita bakhil, dikhuatiri kubur akan menjadi satu lubang neraka.


Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud


"Kubur itu akan menjadi satu taman daripada taman syurga atau satu lubang daripada lubang neraka.”


Kelebihan Infaq di Jalan Allah swt


i. Allah akan mengampunkan dosa


“Iaitu kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu juka kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa2mu.’’ (Al- Saff: 12)


Kebaikan yang kita lakukan dapat menghalang atau menghapuskan kejahatan. Oleh itu, antara cara untuk membersihkan hati daripada penyakit seperti bakhil ialah dengan jalan mengeluarkan infaq atau berzakat. Zakat bererti membersih atau menyuburkan harta. Jika dari segi logik pemikiran, sekiranya kita mengeluarkan zakat maka harta akan berkurangan. Namun kemurahan Allah swt tidak tertyakluk kepada logic manusia. Memberikan harta mestilah dengan matlamat Allah swt semata2 tanpa mengharapkan apa2 balasan di dunia.


ii. Allah berikan balasan yang besar.


Allah gandakan balasannya di Akhirat nanti. Berniaga dengan Allah sangatlah menguntungkan. Berniaga dengan Allah tidak pernah rugi.


Firman Allah swt bermaksud


“Perumpamaan infaq yang yang dikeluarkanoleh orang2 yang menafkahkan hartanya di jalan Allah ialah seumpama sebutir biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai. Pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipat gandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendakinya. Dan Allah Maha luas kurniaanya lagi Maha Mengetahui. (Al-Baqarah:261


Sememangnya Allah swt boleh membayar apa sahaja sebab Dia Maha Kaya.


iii. Apa yang kita belanjakan itu akan kekal.


“Tiadalah bagi kamu wahai anak adam kecuali engkau makan lalu engkau habiskan, atau engkau pakai lalu engkau tanggalkan, atau apa yang engkau sedekahkan. Maka apa yang engkau sedekahkan itulah yang akan kekal.”


Beberapa Langkah Untuk Menjadi Mukmin Yang Menyukai Infaq


1. i. Mendidik terus hati dan iman kita.


Kita tidak boleh jemu2 mendidik dengan pelbagai wasilah dan jalan. Tidak boleh tertipu dengan nilai2 sekular. Hadis Rasulullah SAW


“Akan lusuh iman itu sepertimana lusuhnya pakaian. Oleh itu perbaikilah iman kamu.”


Iman juga akan menentukan amalan kita sama ada ikhlas ataupun tidak. Syeikh Mustafa Masyhur ada menyatakan: “Mengeluarkan harta zakat dan membelanjakan harta di jalan Allah adalah ibadah yang sangat penting dalam usaha bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah swt.


ii. Berlatih mengeluarkan sumbangan untuk Islam.


Peruntukkan suatu portion daripada gaji kita untuk kita infaqkan ke masjid atau sekolah2 agama, sekolah2 tahfiz, atau untuk sedeqahkan kepada orang2 miskin. Didik anak2 kita juga untuk berbuat yang sama. Contohnya jika kita berikan kepadanya RM2 sebagai perbelanjaan harian ke sekolah, lebihkan contohnya 50sen dan galakkannya untuk memberikannya kepada peminta sedekah di jalanan atau membelanja rakan2nya yang agak susah. Ibadah infaq adalah saham kita di Akhirat nanti. Kita lakukan dengan ikhlas kerana Allah swt. Kita yakin dengan janji2 Allah swt.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Kamu sekali2 tidak akan sampai kepada kebaktian yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu sayangi. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya. (Ali Imran:92)


iii. Berjihad membersihkan diri daripada sifat bakhil.


Biarlah Allah dan RasulNya yang pertama-tama kita kasih.


Firman Allah swt yang bermaksud:


…dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebih2an. Maka janganlah berbuat demikian…(Al-Fajr: 20-21)


Ingatlah, kamu ini orang2 yang diajak untuk menafkahkan hartamupada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir. Dan siapa yang kikir, maka sesungguhnya dia hanya kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allahlah Yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang2 yang sentiasa perlu kepadaNya. Dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikanmu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Muhammad: 38)


“ Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat kedekut yang berada dalam dirinya, mereka itulah orang2 yang beruntung” (Al-Hasyr:9)


iv. Menjaga amalan infaq daripada menjadi sia2


Janganlah tiba2 didapati di Akhirat nanti hasil infaq di sisi Allah swt kosong atau terbatal disebabkan sikap dan tindak tanduk seperti menunjuk2, mengungkit2 dan membangkit2kan apa yang telah diinfaqkan.


Firman Allah swt yang bermaksud:


“Hai orang2 yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedeqahmu dengan menyebut2nya dan menyakiti perasaan si penerima, seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riya’ kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah,kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu jadilah dia bersih (tidak bertanah lagi). Mereka tidak mendapat suatu apapun daripada apa yang mereka usahakan, dan Allah tidak member petunjuk kepada orang2 yang engkar” (Al-Baqarah:264)


Marilah kita merasa malu terhadap Allah swt. Tidak layak untuk kita mengungkit2kan apa yang telah diinfaqkan kerana hakikatnya infaq kita itu adalah saham untuk keselamatan dan kebahagiaan kita sendiri di Akhirat kelak, Allah sedikitpun tidak memerlukannya.


Oleh: Almarhum Ustaz Abdullah Akhili Abdul Latiff UITM


Risalah Al-Qayyim (1996)


Sumber: http://ghoorabaa.blogspot.com/2011/02/kelebihan-berjihad-dengan-harta.html

No comments:

Post a Comment