Saturday, September 04, 2010

Taubat Yang Bersungguh-Sungguh (Siri 1)

Rabi’ Bin Khutsaim mengatakan, “Tahukah kamu apa yang dimaksudkan dengan penyakit, obatnya dan bagaimana cara penyembuhannya?” Mereka mengatakan, “Tidak.” Rabi’ menjelaskan, “Penyakit itu adalah dosa-dosa. Ubatnya adalah istighfar (minta ampun kepada Allah). Terapinya adalah hendaknya kamu bertaubat kepada Allah dan tidak mengulangi kembali.”
Kita memerlukan taubat yang bersungguh-sungguh atau taubat nasuha. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.”
(Surah An Nur: ayat 31)
Hasan Basri mengatakan: “Hati itu kadang-kadang hidup dan kadang-kadang mati. Dia sentiasa hidup dengan ibadah-ibadah yang wajib dan sunnah, tetapi ia boleh mati dengan pelbagai dosa dan kemaksiatan.”

Sesungguhnya yang dapat mengangkat kelemahan ini dari kita adalah taubat nasuha kepada Allah Yang Maha Tunggal. Allah sentiasa akan menerima taubat hambaNya, memaafkan segala kesalahan, dan mengetahui segala sesuatu yang kita kerjakan.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka. Siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.”
(Surah ali Imran ayat 135)
Ibnul Qayyim mengatakan, “syarat-syarat taubat itu ada tiga:
i. penyesalan terhadap perbuatan jahatnya
ii. menghapuskan semua perbuatan jahatnya
iii. meminta ampun dan maaf.

Beliau turut mengatakan, “Awal mula penyesalan adalah menganggap semua kejahatan yang telah dilakukan sebagai yang besar dan serius.”

Kita mengetahui dan menyedari bahawa kita telah melakukan sebuah kesalahan yang besar kepada Allah yang memberikan berbagai kurnia dan nikmat kepada kita. Allah memberikan usia muda dan tubuh badan yang gagah kepada kita. Dia memberikan tubuh badan yang cantik dan indah kepada kita. Kemudian tanpa rasa malu sedikit pun kita berbuat kesalahan dan dosa kepadaNya.

Oleh kerana itu, Allah sangat murka kepada tiga golongan manusia, salah satunya kerana mereka meremehkan atau memandang ringan kejahatan. Mereka berkeyakinan bahawa apa yang mereka lakukan adalah sesuatu yang sedikit, kecil dan tidak mendatangkan kesan yang buruk kepada diri mereka. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
“Ada tiga golongan manusia yang Allah tidak sudi berbicara, melihat dan mensucikan mereka pada hari Kiamat, dan mereka akan mendapat siksa yang pedih: iaitu orang tua yang berzina, raja yang berbohong dan orang miskin yang menyombong diri”. (HR Muslim)

Rujukan:

Dr A’idh al Qarni M.A., Jadilah Pemuda Kahfi – Ekspresi Cinta Seorang Ulama kepada Pemuda, terjemahan H. Sarwedi M.Amin Hasibuan, Lc, Solo; Aqwam, 2005

No comments:

Post a Comment