Saturday, September 04, 2010

Taubat Yang Bersungguh-Sungguh (Siri 2)

Seringkali kita tidak serius dengan taubat yang kita lakukan. Selalu juga kita dengar mereka yang bertaubat kembali melakukan dosa. Seharusnya kita segera bertaubat kembali dan tidak melayani bujukan serta bisikan hawa nafsu.Antara ciri-ciri taubat yang rosak ialah:

i. Lemah tekadDia tidak mempunyai tekad yang kuat untuk melakukan kebaikan. Selalu mengabaikan ibadah fardhu. Sebagai contoh, jika dia bersungguh-sungguh dan jujur dengan taubatnya maka dia tidak akan terus lena apabila azan Subuh dikumandangkan dan bersedia untuk menghadapi air yang dingin untuk berwuduk.

ii. Hati cenderung terhadap dosa
Dari masa ke semasa hati cenderung untuk melakukan dosa. Selalu berjinak-jinak dengan perbuatan zina, tidak menjaga pandangan mata kepada perkara yang haram, mendengar nyanyian yang melalaikan, mengambil dadah atau cenderung kepada dosa meminum arak.

iii. Terlalu meyakini diri
Allah berfirman yang bermaksud:“Dan Allah Maha Berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahuinya.”(Surah Yusuf ayat 21)

Ada orang yang merasa yakin dengan dirinya, kononnya mempunyai iman yang kuat dan tidak mungkin terjerumus ke lembah kehinaan dan maksiat. Bersama-sama di dalam suasana pergaulan bebas, bercampur lelaki & perempuan atau tempat maksiat seperti pusat hiburan/ kelab malam atau majl
is yang dihidangkan arak. Lambat laun akan terdorong untuk melakukan dosa dan kemungkaran.

iv. Mata yang tidak sensitif
Matanya tidak pernah mengeluarkan air mata dan tidak pernah menangis. Ini menunjukkan hatinya keras dan rosak.

v. Tetap lalai walaupun seringkali diberi peringatan
Seringkali diberi peringatan oleh Allah dengan pelbagai peristiwa dalam hidupnya. Melihat kematian dan musibah yang menimpa kawan atau saudara mara. Menghantar jenazah ke kubur tetapi tidak mengambil peringatan daripadanya. Seringkali mendengar ceramah dan khutbah tetapi tidak mendatangkan kesan di hatinya

vi. Tidak melakukan amal soleh sedikitpun.

Ia tetap bergelumang dengan dosa dan tidak pernah menambah amal soleh serta tidak berusaha untuk menebus kesalahan pada masa silam.

Mudah-mudahan Allah menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat di atas.

Rujukan:

Dr A’idh al Qarni M.A., Jadilah Pemuda Kahfi – Ekspresi Cinta Seorang Ulama kepada Pemuda, terjemahan H. Sarwedi M.Amin Hasibuan, Lc, Solo; Aqwam, 2005

No comments:

Post a Comment