Thursday, March 04, 2010

Berkorban Pada Jalan Allah

Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud:
”Wahai Anak Adam! Berinfaqlah, pasti Aku akan limpahkan kurniaanKu kepadamu. Sesungguhnya ’Yaminullah’ (gudang nikmat dan kelebihanNya), sangat penuh berlimpah ruah, tidak akan susut sedikitpun siang ataupun malam.” (Hadis Qudsi riwayat Daraquthni dari Abu Hurairah r.a.)

Allah swt memerintahkan hamba-hambaNya supaya berinfaq dan membelanjakan sebahagian rezeki yang telah dilimpahkanNya kepada para fakir, miskin, orang-orang yang sangat memerlukannya dan untuk kebaikan dan manfaat orang ramai dan janganlah kikir (kedekut) kerana takut kehabisan hartanya atau susut bilangan dan jumlahnya.

Di dalam hadis ini diterangkan bahawa Allah tetap dan pasti membalas infaq atau belanja yang telah dikeluarkan hambaNya dan akan dibalasNya dengan berlipat ganda. Allah membalas dengan caraNya sendiri, baik hambaNya sedar atau tidak, balasanNya akan melimpah kepadanya di dunia ini atau ditangguhkan pada waktu yang ditentukanNya sendiri atau ditangguhkanNya pada hari akhirat kelak.

Allah Maha Pemberi Rezeki, kerana rezeki itu dikembalikan semula kepadanya, bahkan diganti dengan yang lebih baik dan berlipat ganda.

Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 261 yang bermaksud:
”Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (Rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

”Siapakah orang yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya?. Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNya kamu semua dikembalikan.” (Surah Al Baqarah ayat 245)

”Dan jangan sekali-kali orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi.” (Surah Ali Imran ayat 180)

Semua anjuran, sifat dan akhlak yang disebut dalam Al Quran itu adalah akhlak Nabi s.a.w. dan telah baginda amalkan sebagaimana semestinya. Begitupun mengenai sifat infaq ini, Nabi s.a.w adalah orang yang paling dermawan. Baginda banyak melakukan infaq dan sempurna sekali kedermawanannya. Infaq baginda laksana angin yang berhembus tiada henti-hentinya. Lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Baginda membelanjakan hartanya (melakukan infaq) dan tidak pernah takut kepapaan.

Perkara ini dirasai oleh orang yang pernah menjadi musuh baginda. Orang itu pernah meminta sesuatu kepada Nabi s.a.w. lalu diberinya sekumpulan kambing yang banyak sampai memenuhi lembah antara dua gunung. Dengan gembiranya orang itu segera pulang ke desanya sambil berteriak: ”Wahai kaumku, masuklah Islam, kerana Muhammad memberikan pemberian bagaikan pemberi yang tidak takut papa.”

Pernah baginda mendapat rezeki sebanyak sembilan ratus ribu dirham lalu diletakkannya di atas tikar dan dibahagi-bahagikannya kepada sesiapa sahaja yang datang memintanya, sehingga wang itu habis kesemuanya.

Semoga kita dapat mencontohi baginda dengan penuh ikhlas. Amin.

Rujukan:
Hadis Qudsi, K.H.M. Ali Usman, Dr H.M.D Dahlan H.A.A Dahlan. Victory Agencies, Kuala Lumpur, 2002.

No comments:

Post a Comment