Wednesday, February 25, 2009

Manusia Yang Mendapat Perlindungan Allah

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a. telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w berkata:

“Tujuh golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari tiada perlindungan melainkan perlindunganNya iaitu pemimpin yang adil, pemuda yang membesar dalam keadaan beribadat kepada Allah, lelaki yang hatinya terpaut dengan masjid , dua orang lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, mereka bertemu dan berpisah kerana Allah, lelaki yang diajak oleh perempuan yang mempunyai rupa yang cantik dan mempunyai kedudukan (untuk melakukan zina) lalu dia berkata: “Sesungguhnya aku takutkan Allah”, dan lelaki yang bersedekah lalu dirahsiakannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya dan lelaki yang mengingati Allah secara berseorangan lalu mengalir air matanya.”

Inilah sikap seorang muslim. Islam mengajar manusia muslim agar menjaga kesucian, kehormatan, sentiasa menolak dari melakukan dosa besar dan kekejian yang lain.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi, As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 176.]

Tuesday, February 24, 2009

Nasib Umat Islam Pada Hari Ini..

Umat Islam pada hari ini merupakan umat yang mundur setelah kita pada suatu ketika dahulu adalah umat yang maju. Kita diperintah oleh bangsa-bangsa yang lain setelah kita pernah memegang tampuk pemerintahan dunia. Kita telah tergolong ke dalam negara-negara ketiga atau negara-negara membangun iaitu ungkapan yang lembut bagi negara-negara mundur.

Tidak memadai dengan setakat itu, malah semua kuasa dunia telah menyerang kita yang tidak berupaya untuk mempertahankan diri sendiri. Kita telah ditewaskan dengan teruk sekali. Kita telah menjadi bahan makanan kepada orang-orang yang tamak dan lahap dari timur dan barat.

Semua kuasa ini telah bersatu untuk menyerang kita sedangkan kita telah berpecah dan bergaduh sesama kita. Akan tetapi semua musuh kita telah bersatu padu dan bekerjasama. Ini telah diperkatakan oleh fuqahak kita sebelum ini semua jenis kuasa kufur adalah dalam satu agama. Malah ini merupakan realiti yang diungkap oleh Al Quran Surah Al Anfal ayat 73 yang bermaksud:
“ Dan orang-orang kafir setengah mereka adalah penolong kepada setengah yang lain. Sekiranya kamu tidak bersatu padu nescaya akan berlaku kerosakan dan fitnah yang besar di atas mukan bumi.”

Kuasa-kuasa kafir seluruhnya telah bersatu padu dan menyerang kita samada kuasa kominis yang tidak beriman kepada Allah, tidak beriman kepada wahyu, tidak beriman kepada akhirat, tidak beriman kepada mana-mana agama langit dan berkata: “Tidak betul Allah itu menjadikan manusia, akan tetapi yang betulnya ialah manusia itu sendiri yang menciptakan Allah”. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan.

Kuasa-kuasa ini tidak berpada dengan menyerang kita dari dalam parti, para pekerja da
n agen serta penyeru-penyerunya, malah mereka menyerang kita daripada luar. Mereka menyerang kita dengan kekuatan senjata, tentera-tentera mereka telah menyerbu mas
uk ke dalam Negara-negara Islam yang masih lagi merasai kesan-kesan perang. Mereka membunuh sekadar yang mereka terupaya. Inilah yang mereka telah lakukan kepada Afghanistan. Ini berlaku pada 23 September, 1979. Pada tanggal 13 April 1989 kuasa kominis di Afghanista
n telah berundur keluar dari Negara tersebut dengan menerima kekalahan yang telah dihadiahkan oleh para mujahidin.

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi,
As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 218-219.]

Keagungan Umat Islam Suatu Ketika Dulu…



Pada suatu ketika dahulu umat Islam pernah menjadi penghulu dunia, umat Islam memimpin dunia dengan iman dan Al Quran, dengan ilmu dan ehsan. Mereka telah memerintah dengan penuh keadilan. Mereka menunaikan segala amanah yang diletakkan di atas bahu mereka. Mereka telah menjadi pembawa obor hidayah dan penunjuk ke jalan kebenaran bagi seluruh dunia.

Tentera Islam telah pergi ke merata tempat. Al Quran di sebelah tangan mereka dan pedang di sebelah yang lain. Mereka berbuat demikian bukan kerana untuk memaksa orang lain masuk ke dalam agama Islam, tetapi bertujuan menegakkan kebenaran dan memusnahkan kebatilan, mereka ingin membantu orang yang lemah dan menentang orang kuat yang menyalahgunakan kuasa. Mereka berhadapan dengan orang zalim untuk menentang kezaliman yang mereka lakukan.

Umat Islam pada suatu ketika dahulu pernah mempunyai tamadun yang sampai ke kemuncak ketinggiannya dengan menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan antara langit dan bumi, menghubungkan antara dunia dan akhirat, mempertemukan antara akal dan hati, antara kebendaan dan kerohanian dan menseimbangkan antara hak individu dengan kepentingan masyarakat.

Kitab-kitab yang dikarang oleh orang Islam pada ketika dahulu menjadi bahan pembelajaran di universiti-universiti seluruh dunia. Ahli-ahli ilmu Islam merupakan nama-nama yang terkemuka di dunia. Bahasa Arab telah menjadi bahasa pengantara yang utama di seluruh pelusuk dunia.

Keagungan dan kecemerlangan umat Islam pada zaman tersebut telah mencapai tahap di mana salah seorang khalifah negara Islam iaitu Khalifah Harun Ar Rasyid berdiri memerhatikan awan yang berarak lalu berkata: "Pergilah ke mana sahaja engkau mahu samada ke barat atau ke timur, hasil keluaran tumbuhan yang engkau siram akan sampai ke baitul mal muslimin".

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi, As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 216-217.]