Tuesday, February 24, 2009

Keagungan Umat Islam Suatu Ketika Dulu…



Pada suatu ketika dahulu umat Islam pernah menjadi penghulu dunia, umat Islam memimpin dunia dengan iman dan Al Quran, dengan ilmu dan ehsan. Mereka telah memerintah dengan penuh keadilan. Mereka menunaikan segala amanah yang diletakkan di atas bahu mereka. Mereka telah menjadi pembawa obor hidayah dan penunjuk ke jalan kebenaran bagi seluruh dunia.

Tentera Islam telah pergi ke merata tempat. Al Quran di sebelah tangan mereka dan pedang di sebelah yang lain. Mereka berbuat demikian bukan kerana untuk memaksa orang lain masuk ke dalam agama Islam, tetapi bertujuan menegakkan kebenaran dan memusnahkan kebatilan, mereka ingin membantu orang yang lemah dan menentang orang kuat yang menyalahgunakan kuasa. Mereka berhadapan dengan orang zalim untuk menentang kezaliman yang mereka lakukan.

Umat Islam pada suatu ketika dahulu pernah mempunyai tamadun yang sampai ke kemuncak ketinggiannya dengan menghimpunkan antara ilmu dan iman, menyambungkan antara langit dan bumi, menghubungkan antara dunia dan akhirat, mempertemukan antara akal dan hati, antara kebendaan dan kerohanian dan menseimbangkan antara hak individu dengan kepentingan masyarakat.

Kitab-kitab yang dikarang oleh orang Islam pada ketika dahulu menjadi bahan pembelajaran di universiti-universiti seluruh dunia. Ahli-ahli ilmu Islam merupakan nama-nama yang terkemuka di dunia. Bahasa Arab telah menjadi bahasa pengantara yang utama di seluruh pelusuk dunia.

Keagungan dan kecemerlangan umat Islam pada zaman tersebut telah mencapai tahap di mana salah seorang khalifah negara Islam iaitu Khalifah Harun Ar Rasyid berdiri memerhatikan awan yang berarak lalu berkata: "Pergilah ke mana sahaja engkau mahu samada ke barat atau ke timur, hasil keluaran tumbuhan yang engkau siram akan sampai ke baitul mal muslimin".

[Petikan dari buku Khutbah Jumaat, Dr Yusuf Al Qardhawi, As-Syabab Media, Bandar Baru Bangi, 2002, p 216-217.]

No comments:

Post a Comment