Thursday, December 03, 2009

HAK IBUBAPA DAN ANAK-ANAK

Hak kedua-dua ibu bapa

Seorang anak mesti mentaati ibubapasepertimana mereka mentaati anak semasa masih kecil. Berbelanjalah untuk mereka sepertimana mereka telah berbelanja untuk anak sewaktu kecil. Kasihlah kepada mereka sepertimana mereka kasihkan anak sewaktu kecil dan besar. Bergaullah dengan mereka dengan cara yang baik.

Hak terhadap ibubapa adalah besar. Janganlah mengutamakan is­teri, anak-anak sendiri dan kawan-kawan melebihi ibubapa. Tetapi hak terhadap ibubapa hanya kekal di dalam batas-batas syara’ sahaja. Sekiranya mereka menyuruh agar melakukan perkara-perkara yang tidak syar’i maka seorang anak mesti terus patuh kepada Allah Subhanahuwata’ala. Namun seorang anak tidak boleh bermusuh dengan mereka. Anak perlu terus menjaga siratulrahim dengan ibubapanya. Cuma dalam hal yang melanggari perintah Allah Subhanahuwata’ala seorang anak tidak boleh ta’at kepada kedua ibubapa. Tetaplah berbaik dengan ibubapa walaupun mereka bukan Islam.

Seseorang anak tidak boleh meletakkan kedudukan ibubapalebih rendah daripada kedudukannya. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam sendiri melayan baik ibu susu, bapa susuan dan saudara susuan baginda dengan baik.

Muliakanlah kawan-kawan mereka berdua. Peliharakanlah keredhaan mereka berdua (dalam batas-batas syara’).

Hak Anak-Anak

Terhadap anak-anak, maka mereka berhak diberikan nama yang baik, tarbiyyah Islamiyah, pakaian dan makanan. Berikanlah persediaan-persediaan pada diri mereka agar dapat melaksanakan perintah Allah Subhanahuwata’ala Didik dan jagalah mereka sehingga mereka dewasa. Tunaikanlah hak-hak terhadap anak-anak secara sama rata.

Apabila anak-anak sudah meningkat ke arah dewasa (15 tahun), maka berikanlah persediaan pada mereka agar dapat melaksanakan kewaji­pan-kewajipan seperti berpuasa, solah, berjihad, menunggang kuda (dalam konteks sekarang - memandu), berenang, berlatih mengguna­kan alat-alat peperangan, berlatih melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manafaat dan berakhlak mulia. Hendaklah sifat-sifat yang baik menjadi malakah pada diri mereka, bukan setakat berpen­getahuan sahaja.

Ibubapaperlu mengalirkan masa depan anak-anak ke arah yang betul dan sesuai dengan tuntutan Islam, maka InsyaAllah akan lahirlah natijah yang betul pada mereka.

Jelaskanlah kepada anak-anak bahagian-bahagian ‘aqidah Islam. Mereka hendaklah menganut Islam secara faham dan melalui jalan tarbiyyah yang betul, bukan secara warisan sahaja. Ajarkanlah mereka kerja-kerja kemahiran seperti pertukangan. Apabila anak-anak telah diperkuatkan dengan ‘aqidah dan mempunyai pegangan hidup yang kuat, maka mereka boleh dilepaskan untuk mempelajari ilmu-ilmu kemahiran hidup daripada siapa sahaja yang difikirkan sesuai. InsyaAllah mereka akan mempelajari ilmu-ilmu itu tanpa hanyut.

Latihlah lidah mereka dengan percakapan-percakapan yang baik dan tabi’at mereka dengan tabi’at-tabi’at Islam. Ajarlah mereka dengan fardhu ‘ain, ilmu fiqh dan fardhu kifayah seperti solah jenazah. Kita mesti sedar dan merancang dengan baik untuk meme­nuhi ruang fardhu kifayah yang masih banyak demi keperluan ummah Islamiyah, misalnya dalam bidang kedoktoran samada bagi lelaki atau perempuan. Keperluan-keperluan ini tidak boleh diabaikan, bahkan perlu dirancang dengan dari awal.

Ajarlah anak-anak supaya berusaha menegakkan yang ma’aruf dan mencegah yang mungkar.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam menyuruh ibubapa memberikan nama yang baik pada anak-anak pada hari yang ke tujuh. Kemudian membuatkan aqiqah (iaitu pada hari ke tujuh atau hari ke 14 atau paling lewat hari ke 21). Bagi anak wanita aqiqahnya adalah satu ekor kambing dan bagi anak lelaki aqiqahnya adalah dua ekor kambing.

Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam juga berpesan kepada ibubapa agar mendidik anak-anak supaya kasihkan Rasulullah, cintakan keluarga Rasulul­lah dan cintakan Al Qur’an.

Oleh: Ustaz Dahlan Mohammad Zain.

No comments:

Post a Comment