Monday, June 27, 2011

Menanam Rasa Takut Kepada Allah

Betapa pentingnya kita merasa takut kepada Allah. Orang yang merasa takut kepada Allah tidak akan berani melakukan dosa atau kemungkaran. Kebaikan daripada tidak melakukan dosa adalah untuk diri manusia sendiri. Perbuatan dosa bukan sahaja menyebabkan seseorang diazab di akhirat tetapi menyebabkan jiwa manusia tidak merasa bahagia dan tenteram

Selepas mengetahui betapa pentingnya kita merasa takut kepada Allah maka perlu pula kita mengetahui kaedah untuk menanam rasa takut kepada Allah. Antara cara-caranya ialah:

i. Memikirkan kebesaran dan keagungan Allah kerana seseorang yang merasai keagungan dan kebesaran Allah, pasti akan mengagungkan-Nya dan takut kepada-Nya. Allah Ta’ala berfirman,

“Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya.” (Ali Imran: 28)

Kita boleh melihat kejadian langit dan bumi, malam dan siang, kejadian manusia dan lain-lain makhluk Allah. Betapa indah, hebat dan jelas menunjukkan kebesaran dan kekuasaan Allah.

ii. Merenungi kalam Allah (Al Quran) dan Sunnah Rasulnya.

Ibnul Qayyim berkata,”Apabila seseorang merenungi kalam Allah (Al Quran) dan sunnah Nabi-Nya, nescaya hatinya akan menyaksikan berbagai hal tentang sifat-sifat Allah, siksaan dan pembalasan-Nya serta bagaimana para Nabi, malaikat dan orang-orang soleh takut kepada-Nya.”

iii. Bergaul dengan orang-orang yang boleh menumbuhkan dalam diri kita rasa takut kepada Allah, iaitu orang-orang soleh dan para ulamak rabbani.

Firman Allah yang bermaksud:

”Bersabarlah kamu bersama orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingat Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas.“ (Surah Al Kahfi: ayat 28)

iv. Sentiasa memikirkan dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Allah sentiasa mencatat semua dosa yang telah kita lakukan. Allah akan membalas dengan siksa dan hukuman apabila kita tidak bertaubat kepada-Nya. Hal itu akan menanamkan rasa takut kepada Allah dan murka-Nya serta mendorongnya untuk segera bertaubat. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Aku Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh, kemudian tetap di jalan berrnar. (Thaha: 82)

v. Memikirkan kematian yang boleh datang pada bila-bila masa sebelum dapat kita membuat persiapan. Memikirkan betapa sakit dan azabnya sakratul maut bagi orang-orang yang banyak melakukan maksiat, dan tiada siapa yang dapat mengelakkan diri dari kematian. Firman Allah yang bermaksud:

Katakanlah sesungguhnya kematian yang kamu lari darinya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan nyata, lalu Dia memberitahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah Al Juma’ah: 8)

Rasul S.A.W. bersabda: “Perbanyaklah mengingat penghancur kenikmatan; yakni kematian.” (HR Ibnu Hibban)

vi. Memikirkan apa yang akan kita alami di alam kubur setelah kematian kita dengan memperbanyakkan ziarah kubur.

Rasul S.A.W. bersabda: “Dulu aku melarang kamu berziarah kubur. Sekarang ziarahlah ke kubur, kerana sesungguhnya ia dapat melembutkan hati, membuat air mata tertumpah, dan mengingatkanmu kepada akhirat.” (HR Ibnu Hibban)

Barra’ Bin Azib menyatakan bahawa ia pernah bersama Rasulullah S.A.W. menghantar jenazah`seseorang, lalu beliau duduk di pinggir kubur dan menangis hingga air matanya membasahi tanah, lalu bersabda,

“Wahai saudara-saudaraku, untuk menghadapi peristiwa seperti ini hendaknya kamu mempersiapkan diri.” (HR Ibnu Hibban)

v. Memikirkan saat manusia berada pada hari kiamat yang sangat menakutkan, sementara ia tidak memiliki bekal kebaikan yang dapat menyelamatkannya. Justeru beban dosa dan keburukan yang menggunung telah siap menjerumuskan dirinya ke dalam api neraka. Allah Taala berfirman,

Hai manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu dan takutilah suatu hari yang (pada hari itu) seorang bapa tidak dapat menolong anaknya dan seorang anak tidak dapat (pula) menolong bapanya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka janganlah sekali-kali kehidupan dunia memperdayakan kamu, dan jangan (pula) penipu (syaitan) memperdayakan kamu dalam (mentaati) Allah.” (Surah Luqman ayat 33)

vi. Memikirkan hari ketika ahli neraka dimasukkan ke dalam neraka dan penderitaan abadi dan siksaan sangat pedih yang akan dialaminya. Allah Taala berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Saqar (neraka) itu adalah salah satu bencana yang amat besar.” (Surah Al Muddaththir ayat 35).

Mengenai ayat di atas Al Hassan mengatakan bahawa siksa neraka itu benar-benar merupakan peringatan yang paling besar dan paling mengerikan. Tiada peringatan yang lebih mengerikan bagi manusia selain siksa neraka. (Silsilah A’malil Qulub: 179-222).

Moga-moga kita dapat mendidik hati kita agar merasa takut kepada Allah dan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang dimurkai Allah. Di samping itu kita mengharapkan Allah memberikan kekuatan kepada kita dalam melaksanakan segala perkara yang disukai Allah agar kita sentiasa dikasihi Allah dan diberi rahmat kepada kita di dunia dan akhirat.

Wallahu’aklam.

Rujukan: Fakhruddin Nursyam, Lc, Syarah Lengkap Arba’in Ruhiyah Refleksi 40 hadis Rasulullah saw, Bina Insani Press Solo, Solo, 2007.

4 comments:

  1. Assalamaualaikum...
    betul3...dengan cara inilah kita akan sedar siapa diri kita ini jika nak dibandingkan dengan Allah....
    Sedangkan Rasulullah pun sentiasa melakukan solat sunat Taubat yang mana baginda adalah maksum...
    Kita yang bukan maksum ini, yang setiap saat melihat maksiat ini..adakah kita melakukan solat sunat taubat??? beristifar????
    Renungkan2 dan fikir2 kanlah...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum
    Saya betol2 ingin memupuk rasa takut pada Allah demi keredhaanNya. Saya tak mahu tergolong dlm org yg rugi. Tapi saya mendapati diri sukar melakukkannya. Mohon bantuan dan nasihat

    ReplyDelete
  3. Assalam .. Sy di didik dri kecil hingga sy dewasa tentang ilmu agama .. tp sy abaikn segala-galanya .. sy trfikir untuk ubah .. tp sy tk mampu .. sy abaikn perintah-NYA .. sy buat apa yg sy rasa nk buat ,, sedangkn sy tahu benda tu haram .. sy dh jauh sngt2 .. sy prlukn bantuan untuk ngubati jiwa sy .. sy dh tk tahu nk crita mcm mna .. sy nk ubah dri sy .. cara hidup sy .. tolong bantu sy .. please ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. sy dngr caranye kene ade iman dn takut kpd allah yg dpt mmbentengi diri dri dosa

      Delete