Thursday, April 21, 2011

Kisah Benar, Di Tawarkan 36 Orang Pelacur

Hari ni kita bimbang dengan kehilangan dan kehancuran nilai-nilai baik dalam masyarakat disebabkan arak, dadah, judi, dan percampuran bebas sehingga menyebabkan zina.

Nilai murni masyarakat Islam, sewajarnya dipelihara dan disuburkan dengan meningkatnya pengetahuan dan keimanan kepada Allah dan segala ketetapanNya.

Sabda Rasulullah,
"Apabila telah zahir (nyata) zina dan riba dalam sesebuah kampung/tempat/negeri, maka penduduk kampung/negeri itu telah menghalalkan untuk diri mereka sendiri azab dan
siksa Allah". (Hadis riwayat al-Hakim)

Dalam sebuah Hadis lagi , Rasulullah s.a.w. bersabda yang ertinya:
"Jauhilah tujuh dosa besar, syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari medan peperangan (kerana takut) dan menuduh perempuan yang suci dengan zina ( tanpa saksi yang adil)." ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di sini, dan banyak hadis lain, kita dapati zina dan riba digandingkan, seolah-olah ia sama jahat - pelacuran dan riba seolah-olah sama kotornya.

Jika diteliti dalam hadis dan al Quran, pemakan riba dan mereka yang terlibat dengan riba, adalah lebih hina dari itu. Perhatikan hadis berikut :
Sabda Baginda Rasulullah:
"Satu dirham riba yang dimakan oleh seorang lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya, lebih buruk dari berzina sebanyak 36 kali" (Musnad Ahmad , Albani mengatakan sohih )

Sabda Baginda lagi:
" Riba mempunyai 73 pintu, Riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.."(Ibn Majah, Al-Hakim, Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

Sungguh menggerunkan, cuba kita ulang baca ,
"Riba yang paling ringan, seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.."
Astaghfirullah hal 'azhim.

Macamana tak runtuh masyarakat kita, kalau kita yang ke mesjid, yang menjadi imam dan penceramah di institusi kemajuan masyarakat masih bergelumang dengan dosa riba, yang minima darjatnya 36 kali berzina !!!

Majoriti masyarakat Islam tak merasa bersalah lansung, malah rasa bangga bila mempromosi dan berurusan dengan produk-produk riba termasuklah insurans, pinjaman peribadi, kereta atau rumah, FOREX, dan saham bercampur, malah pinjaman institusi pengajian tinggi...

Penjualan dan promosi produk riba berlaku dengan mudah sekali. Saya sudah beberapa kali dihubungi melalui telefon bimbit dan telefon pejabat oleh promoter atau wakil bank supaya melanggan produk- produk mereka. Bila ditanya adakah ia mengguntungkan ? Dengan spontan dia menjawab, "Ya, keuntungan 8-12 % tuan, gerenti.."

Tidak marahkah anda , jika ada seseorang yang mempromosi pelacur kepada kita secara selamba melaui telefon bimbit ? Sekali promote, 36 pelacur dia nak hantar !!

Mungkin ada di antara anda yang marah dengan perumpamaan ini. Tapi ketahuilah Allah dan rasullNya mengatakan ianya lebih teruk lagi !! Bukan sama, tapi berkali ganda !! Malangnya kita hari ni !!

Cuba perhatikan Firman Allah SWT :
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, istiharkanlah perang dengan Allah dan RasulNya" (Al-Baqarah : 278)

Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa yang enggan dan masih berdegil untuk meninggalkan saki baki' riba dalam kehidupannya dengan sengaja, maka ia akan berada dalam
posisi peperangan dengan Allah SWT dan RasulNya. Ayat ini menyebut saki baki', menunjukkan jika kita ingin benar-benar menjadi mukmin sejati, perlulah ia berpengetahuan jelas tentang
riba, serta menjauhkan diri darinya secara total.

Pesanan dan amaran ini bukan saja ditujukan kepada penggambil riba, tetapi juga bagi mereka yang terlibat dengan institusi riba ini, Nabi SAW telah bersabda :
"Dilaknati pemakan riba, penulis riba dan yang menjadi saksinya"
(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ibn Majah) ;

Termasuk juga mereka yang dilaknati adalah mereka yang menjadi penjamin bagi setiap pinjaman riba ( termasuk dari kalangan saksi riba).

Hilanglah kebaikan, keberkatan dalam hidup dan segala apa yang diusahakan, walaupun harta melimpah ruah, duit dan amal kebajikan yang banyak, bila kita mendapat laknat dalam kehidupan ini...

Berkatalah Ibn Abbas r.a :
"Tidak diterima dari pemakan riba ( yang menggunakan harta riba tadi) sedeqahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraannya" (Al-Jami' li Ahkamil Quran, Al-Qurtubi, )
Allah ..., Takutnya !!

Ayuh, marilah kita bersegera mendapatkan pengampunan Allah, dan meninggalkan dosa besar ini. Allah amat menyukai hambaNya yang bertaubat.

Banyak ruang dan peluang yang Allah bukakan untuk kita memilih. Allah tidak memberatkan hambaNya bila diturunkan sesuatu perintah. Setiapnya, pasti ada kebaikannya. Yang dah cukup duit tu, usah tangguh lagi, tamatkan saja hutang dan bayaran ansuran tu. Yang rasa belum
mampu nak tutup hutang tu, pendekkan tempoh bayaran, secepat mungin agar tidak lama bergelumang dengan posisi berperang dengan Allah.

Yang bercita-cita nak beli kereta dengan loan, carilah kereta murah-murah yang ada dalam pasaran. Mulia lagi kita loan dengan keluarga, atau naik bas saja ketempat kerja. Tak ada sesiapa pun paksa kita beli kereta baru !!

Begitu juga dengan rumah. Cari yang ala kadar sahaja. Jika sanggup menyewa, lebih baik lagi. Lumrahnya dalam masyarakat, individu yang dah ada rumahpun, masih mencari rumah kedua walaupun sanggup naik turun bank riba dan meletakkan diri sebagai musuh kepada Allah dan rasulNya.

Ummah kita dah lama terggelam dalam lautan riba sehingga kita jauh dari rahmatNya. Inilah kejayaan tinggalan penjajah bila menamatnya daulah Islam. Sistem kapitalis di "halalkan" dan ditenggelamkan muamalah Islam sehinggalah hilang pengetahuan dan perkataan riba yang sebenarnya.. .

Tiada lagi mereka-mereka yang menjelaskan dosa riba sehingga khatib di mimbar jumaat jarang sekali bercakap mengenainya. Jika mereka yang berada di atas mimbar sendiri tidak takut akan dosa riba, apa lagi ummat yang sentiasa menggangguk di bawahnya.

Amat dukacita sekali mereka yang boleh berusrah, pejuang Islam dalam masyarakat, yang keluar berhari-hari dijalan Allah, pejuang keadilan dan kebajikan masyarakat, pejuang "sunnah yang tulin" yang menapis hadis- hadis dan riwayat, mereka ini tidak endah dengan larangan Allah, dan terus terlibat dengan pinjaman kereta, rumah dan perniagaan berlandaskan riba, kad kredit dan insuran riba, simpanan tetap/ fixed deposit, sehinggalah kepada pinjaman pelajaran riba.

Maksud hadis:
"Asal Islam itu asing (dagang), dan akan kembali asing (dagang). Beruntung lah mereka yang ambil Islam ketika ianya dagang."

Wallahu'alam

Tulisan:
Dr Syed Muhamad Haleem (marmarabiru@gmail.com)

1 comment:

  1. yup, ramai dikalangan kita sangat tidak mempedulikan hal-hal yg dianggap ringan ini.

    ReplyDelete