Thursday, December 02, 2010

Bagaimana Menghilangkan Kegelisahan atau stress?

Kadangkala jiwa kita tidak tenteram. Rasa gelisah atau tidak dapat mengawal emosi. Apabila tekanan dalaman tidak dapat dikawal timbullah tindakan melampau seperti amuk atau stress..Bagaimana Islam menangani isu stress ini? Marilah kita melihat kisah sahabat Nabi bernama Abdullah Bin Mas’ud menasihati seorang lelaki yang menghadapi stress..

Pada suatu masa, seorang lelaki berjumpa dengan Abdullah Bin Mas’ud dan berkata: “Wahai Ibn Mas’ud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.”

Abdullah bin Mas’ud menjawab, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat. Pertama, ke tempat orang membaca Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar bacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya pada waktu malam, dan pada masa itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepadaNya supaya diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu.”

“Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”

Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Quran dengan penuh khusyuk seperti dinasihatkan oleh Abdullah Bin Mas’ud. Selesai membaca Quran, didapati jiwanya berubah menjadi tenang. Fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.

Justeru, apabila kita berdepan dengan masalah dan tekanan, ambillah pendekatan Islam seperti yang disarankan oleh Abdullah Bin Mas’ud. Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 153 yang bermaksud:
“Wahai mereka yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Allah bersama-sama dengan orang yang sabar.”

Rujukan:

Dr Danial Zainal Abidin, 7 Formula Individu Cemerlang, PTS Millennia Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2008