Monday, June 28, 2010

Jalan-Jalan Menuju Keikhlasan (siri 2)

Jalan menuju keikhlasan yang seterusnya ialah:

ii. Mengakui nikmat Allah yang banyak

Kita perlu merasakan nikmat Allah Subhanahuwata’ala di dalam kebaikan yang kita perolehi. Setiap kebaikan merupakan kurnia Allah Subhanahuwata’ala kepada hambaNya. Allahlah yang mengeluarkan kita daripada kegelapan kepada cahaya dan memilih kita ke jalan hidayah. Betapa banyak manusia lain yang masih berada di jalan syaitan. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Sebenarnya Allah, Dialah yang melimpahkan nikmat kepada kamu dengan memberikan hidayah kepada keimanan jika kamu adalah orang-orang yang benar.”
(Surah Al Hujurat ayat 17)

Sesungguhnya kita sememangnya tenggelam di dalam kurniaan Allah Subhanahuwata’ala. Kita telah dibanjiri oleh nikmat Allah yang tidak putus-putus. Sebenarnya, orang yang bersyukur di atas nikmat Allah itu pun, tidaklah dia bersyukur melainkan kerana didorong dan ditolong olah Allah Subhanahuwata’ala. Doa seorang hamba di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Ya Rabbi, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaKu
(Surah Al Ahqaf ayat 15)

Hanya milik Allah Subhanahuwata’ala segala kurnia dan nikmat. Hanya kerana Allah Subhanahuwata’ala segala puji di dunia dan di akhirat.

Rujukan:
1. Rakaizud Da’wah, Dr Majdi al Hilali
2. Nazarat fi Risalatit Ta’lim, Muhammad Abdullah Al Khatib

Wednesday, June 23, 2010

Jalan-Jalan Menuju Keikhlasan (Siri 1)

Jalan menuju keikhlasan sangat sulit, berat dan memerlukan seorang hamba mengikuti jalan-jalan tertentu iaitu:

i. Meminta pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala

Mengikhlaskan hati kerana Allah semasa beramal atau bekerja merupakan perkara yang sangat sulit. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan, untuk mencapai tahap kerja yang ikhlas merupakan perkara yang paling sukar dalam hidup seorang hamba Allah. Ini kerana seorang hamba akan menempuh banyak rintangan untuk menjadi seorang yang ikhlas, di samping dia sering menghadapi kelemahan zahir dan batinnya sendiri.

Seorang hamba sering tewas berhadapan dengan syaitan, dunia dan nafsu yang terus menerus merayu dan menggoda. Justeru itu, dia perlu memohon pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.

Meminta pertolongan kepada Allah Subhanahuwata’ala mestilah disertai dengan perasaan lemah, rendah dan fakir. Telitilah akan kefakiran kita di hadapan Allah meskipun kita memiliki harta yang banyak, anak yang ramai, kesihatan yang baik dan kekuasaan yang tinggi.

Kita haruslah sentiasa merasa memerlukan Allah Subhanahuwata’ala.

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah, Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah Fathir ayat 15)

Jika Allah biarkan kita, nescaya kita akan menjadi budak hawa nafsu, pengikut syaitan dan tenggelam dalam lautan dunia. Allahlah yang membuatkan kita cinta kepada iman serta taat dan membuatkan kita benci kepada kekafiran, kefasikan dan maksiat. Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:
“tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan kederhakaan.”
(Surah Al Hujurat ayat 7)

“Tetapi Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Dia Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.”
(Surah An Nuur ayat 21)

Rujukan:
1. Rakaizud Da’wah, Dr Majdi al Hilali
2. Nazarat fi Risalatit Ta’lim, Muhammad Abdullah Al Khatib