Friday, August 27, 2010

Dato' Kaya Bakti UDMZ -Seorang pendidik berjiwa pejuang!

Ustaz Dahlan @ Dahaman Mohd Zain. Gambar ketika muda
Catatan: Ali Irfan
Saya ingin kongsikan dengan anda semua secara ringkas mengenai, Al-Fadhil Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain.
Sepanjang saya melalui kehidupan ini, banyak perkara yang saya timba, belajar dan pelajari daripada seorang insan bergelar murabbi atau pendidik. Dan salah seorang yang banyak mengajar saya erti kehidupan dan kefahaman Islam yang sebenarnya ialah al marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain(UDMZ).
Kali pertama, saya mengenali insan yang sederhana kehidupan dan penuh dengan jiwa yang luhur ini ialah ketika menjejakkan kaki ke Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) pada tahun 1998. Saya mengenalinya sebagai mudir atau pengetua sekolah saya. Dan bermula saat itulah, secara saya tidak sedar saya sebenarnya mulai dididik di dalam suasana keislaman di MATRI yang diasaskan oleh almarhum UDMZ.
Al Marhum UDMZ, terkenal dan tersohor dihati para pelajar dan anak didiknya kerana keilmuannya yang tinggi, sahsiah diri yang menyentuh hati, kesungguhan dalam mendidik, melaksanakan apa yang dituturkan dan paling menonjol ialah sikapnya yang sangat “meraikan” tetamu serta sesiapa sahaja yang menziarahinya di rumah. Keseniaannya dalam membina hubungan dan memelihara jalinan hubungan dengan anak didik, sahabat handai dan sesiapa sahaja, adalah satu bentuk kesenian yang tidak dimiliki oleh semua orang. Inilah keunikan yang ada pada al marhum UDMZ.
Akhlak, sahsiah dan sikapnya itulah yang menjadikan beliau “terkenal”. Beliau bukanlah siapa-siapa. Bukan daripada keturunan raja mahupun sultan. Bukannya, seorang ahli politik atau artis yang sememang popular di mata masyarakat umum. Bagi saya, sikapnya yang tidak suka meninggikan diri, menjaga hati sesiapa yang berada disampingnya, sentiasa berhikmah dalam mendidik dan tenang dalam berbicara adalah kekuatan utama keperibadian dirinya.
Gambar ketika di Iraq
Bersama rakan-rakannya ketika menuntut di Universiti Iraq
Gambar ketika Graduasi Universiti Baghdad tahun 1968
Semasa tingkatan 2 dulu, (tahun 1999) Ustaz pernah menceritakan kisah perjalanan beliau menuntut ilmu dalam bahasa Arab. Walaupun faham sedikit sahaja, dan saya minta seorang senior tolong terjemahkan, saya dapati kisah Ustaz penuh dengan kesabaran, ketabahan dan semangat juang yang tinggi dalam perjuangan untuk mendapat ilmu. Terpegun saya.
Gambar bersama teman-teman pendidik di Al-Masyhur Pulau Pinang

Di Pejabat Mudir ( Pengetua) Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI)

Mahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) diasaskan oleh Al-Fadhil Ustaz sendiri. Beliau mempunyai wawasan yang besar dan bercita-cita tinggi dalam semangatnya menubuhkan MATRI. Selalu Ustaz menyebut : “ Hajat Ustaz, agar para pelajar MATRI suatu masa nanti menjadi pekerja dan pendokong Islam yang iltizam dan istiqamah.InsyaAllah” Bergambar bersama Murabbi-murabbi MATRI tahun 2002

Bersama Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Negeri Perlis

Majlis Penyampaian Hadiah dan kecemerlangan pelajar tahun 2003
Kata-kata Dato' Mudir yang tidak saya lupa ialah dalam soal tarbiyah : " Kita kena proses diri, dan proses diri. Proses dan terus proses sehingga ia menjadi malaqah ( darah daging) kita." " Beliau adalah seorang pendidik, seorang ayah, seorang sahabat, seorang murabbi, seorang pejuang, dan seorang qudwah kepada anak-anak didiknya." Syukran Ustaz atas didikan ustaz terhadap saya dan sahabat-sahabat yang lain.
Bagi saya Ustaz, bukan sahaja seorang pendidik sahaja, bahkan seorang pejuang. Beliau berjuang untuk mendidik anak bangsanya untuk menghayati Islam dalam erti kata yang sebenarnya. Islam itu perlu dioperasikan di dalam kehidupan setiap detik dan ketika.
Petikan:
http://brohamzah.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment