Friday, July 30, 2010

Peranan Bapa Siri 3

Bagaimana Imam Hasan Al Banna mendidik anak-anak dan isterinya?.

Imam Hasan Al Banna telah membina rumahtangganya atas dasar keimanan kepada Allah. Beliau mempamirkan contoh yang unik sebagai seorang ayah kepada anak-anaknya. Beliau mempunyai visi dan misi yang jelas dan mulia. Cara beliau mendidik anak-anak dan isterinya ialah:

i. Makan Bersama, Menjadi Prioriti

Imam Hasan Al Banna sebagai pemimpin sebuah gerakan dakwah, masih mampu melapangkan waktu untuk makan bersama-sama anaknya di rumah. Suasana makan bersama itulah antara detik-detik penuh kenangan bagi anak-anaknya.

Tsana puteri Hasan Al Banna bercerita: “Beliau sangat mengerti apa yang dikatakan oleh Rasulullah,”Sesungguhnya badanmu mempunyai hak, keluargamu juga mempunyai hak..”

Kebiasaannya Hasan Al Banna tidur hanya empat jam saja dalam satu hari sepertimana 10 wasiat beliau yang menyatakan “pekerjaan yang harus dilakukan lebih banyak dari waktu yang tersedia".

Beliau selalu berusaha untuk bersama-sama makan dengan keluarga, bahkan ketika ada tetamu sekalipun. Ia berusaha meminta mereka (tetamu) datang ke rumah agar beliau dapat makan pagi bersama-sama anak-anak dan isterinya.

ii. Tiada suara keras di rumah Hasan Al Banna

Beliau memberi perhatian yang menyeluruh terhadap anak-anaknya. Tsana bercerita tentang ayahnya, Hasan Al Banna, “Kami tidak pernah merasakan adanya masalah/beban yang dirasakan ayah selama di rumah. Tidak seperti kebanyakan orang yang kerap berteriak atau bersuara keras di rumah disebabkan tekanan mental dan fizikal kerana sibuk dengan kerjaya, bisnes atau aktiviti di luar. Bahkan apa yang penting dalam kehidupan ayah adalah soal mengurus keluarga. Jika anda baca bagaimana peri kehidupan ayah, engkau akan lihat bahawa semuanya berjalan sesuai dengan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah".

iii. Meluangkan masa untuk bersama-sama keluarga

Walaupun sibuk Hasan Al Banna tetap memperuntukkan masa untuk menemani anak-anak bermusafir/ melawat ke beberapa tempat di bahagian selatan melalui beberapa kawasan kampung ketika musim sejuk dan melakukan perjalanan berekreasi ke beberapa tempat di utara ketika musim panas.

Anaknya yang bernama Wafa menceritakan, “Ayah lebih suka pergi beberapa tempat di Selatan ketika musim sejuk kerana ia boleh pergi ke daerah itu dan pulang kembali pada hari itu juga. Ayah pergi pada waktu pagi untuk bekerja dan pulang ke rumah untuk makan tengahari bersama kami. Kadang kala beliau berehat sebentar di rumah. Tidur sekitar 7 minit. Beliau sangat berdisiplin dalam mengatur urusan dirinya. Beliau pergi ke daerah di selatan dan kembali ketika hari petang.”

Ahmad Saiful Islam anak Hasan Al Banna, pernah ditanya tentang Hasan Al Banna yang selalu sibuk dengan kerja dakwah segenap pelosok negeri, samada beliau masih mempunyai masa untuk bersama keluarga. Saiful Islam menjawab: “Ayah – semoga Allah merahmatinya – adalah manusia yang mendapat taufik Allah dalam hal ini. Beliau menggantikan waktu yang ia khususkan untuk kami dengan waktu lain bila beliau harus pergi. Tetapi dalam hal ini, ayah mempunyai keistimewaan. Anda boleh sahaja hanya duduk bersamanya selama dua jam dan ternyata itu sudah memuaskan anda.”

iv. Melakukan perencanaan yang baik terhadap semua anak-anak.

Anak merupakan pelaburan yang besar untuk dakwah dan kemanusiaan secara keseluruhan. Sebab itulah Hasan Al Banna melakukan perencanaan yang baik untuk semua anak-anaknya.

Beliau melaksanakan apa yang dirancangkan melalui satu catatan yang mengandungi seluruh perkara penting mengenai anak-anak seperti kesihatan, penguasaan di dalam pelajaran sekolah dan sebagainya. Catatan berkenaan mengandungi:
a. tarikh dan sejarah kelahiran
b. nombor surat beranak
c. jadual pemberian ubat dan makanan
d. surat keterangan doktor
e. keterangan tentang kesihatan dan penyakit yang pernah dihidapi secara terperinci
f. ijazah anak-anak
g. catatan prestasi anak di sekolah bagi setiap seorang anak dan lain-lain.

Bersambung....

Rujukan:Muhammad Lili Nur Aulia, Cinta Di Rumah Hassan Al Banna, Jakarta; Pustaka Da’watuna, 2007.

No comments:

Post a Comment