Thursday, July 01, 2010

Hakikat Kekuatan – (Jangan Kita Lupa...)

Pengajaran Ayat 41 – 43 Surah Al ‘Ankabut.

Dalam al Quran banyak menceritakan kisah kebinasaan orang-orang kafir yang zalim dan fasiq di sepanjang zaman. Turut dibentang kisah ujian dan dugaan ke atas orang yang beriman dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dan tarbiah.

Al Quran menggambarkan hakikat kuasa dan kekuatan yang bertarung di bidang dakwah ini hanya satu iaitu kuasa dan kekuatan Allah. Seluruh kuasa dan kekuatan yang lain adalah lemah dan kerdil belaka.

Oleh itu sesiapa yang berpegang dan berlindung dengan kekuatan dan kekuasaan manusia adalah sama lemah seperti labah-labah yang lemah berlindung di sebalik rumah yang diperbuat daripada benang yang lemah. Firman Allah dalam Surah Al ‘Ankabut ayat 41 – 43

مَثَلُ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُواْ مِن دُونِ ٱللَّهِ أَوۡلِيَآءَ كَمَثَلِ ٱلۡعَنڪَبُوتِ ٱتَّخَذَتۡ بَيۡتً۬ا‌ۖ وَإِنَّ أَوۡهَنَ ٱلۡبُيُوتِ لَبَيۡتُ ٱلۡعَنڪَبُوتِ‌ۖ لَوۡ ڪَانُواْ يَعۡلَمُونَ (٤١) إِنَّ ٱللَّهَ يَعۡلَمُ مَا يَدۡعُونَ مِن دُونِهِۦ مِن شَىۡءٍ۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَڪِيمُ (٤٢) وَتِلۡكَ ٱلۡأَمۡثَـٰلُ نَضۡرِبُهَا لِلنَّاسِ‌ۖ وَمَا يَعۡقِلُهَآ إِلَّا ٱلۡعَـٰلِمُونَ (٤٣)

Maksud ayat:
“Bandingan mereka yang mengambil pelindung-pelindung selain dari Allah adalah seperti labah-labah yang membuat rumah dan sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui. Sesungguhnya Allah mengetahui apa sahaja yang disembah mereka selain dari Allah dan Dia Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Dan Kami buatkan perumpamaan itu untuk (renungan) manusia dan tiada yang dapat memahaminya kecuali orang-orang yang mengetahui.”

Ini satu gambaran yang menarik dan tepat tentang hakikat kuasa-kuasa dan kekuatan yang wujud di alam ini. Kadang kala manusia lupa atau tersilap dalam menilai dan membuat tanggapan tentang perkara ini. Ini menyebabkan mereka tidak tahu ke mana hendak dituju, apa yang harus mereka pegang dan apa yang harus disembah.

Di waktu inilah mereka tertipu dengan kekuatan dan kuasa pemerintahan. Mereka menganggapkan kuasa ini satu-satunya kuasa dan kekuatan yang ada dan bertindak di bumi ini. Mereka tumpukan kepadanya segala ketakutan dan keinginan mereka dan gentar kepadanya. Mereka berusaha untuk mendapatkan keredhaannya demi menyelamatkan diri mereka dari penindasannya dan demi memperolehi perlindungannya.

Mereka juga tertipu dengan kekuatan harta kekayaan dan menganggapkannya sebagai satu kekuatan dan kuasa yang menentukan kedudukan-kedudukan manusia dan nasib kehidupan. Mereka berusaha untuk mendapat kekayaan dengan penuh minat dan cemas supaya mereka mendapat kekuatan untuk mengusai manusia sebagaimana yang disangkakan mereka.

Mereka juga tertipu dengan kekuatan ilmu pengetahuan. Mereka menganggapkan kekuatan ini sebagai pokok pangkal kekuatan dan kekayaan. Sesiapa yang memiliki ilmu pengetahuan dianggap mempunyai kebebasan untuk bertindak. Lalu mereka berlutut kepada kekuatan ini dengan segala rendah diri seolah-olah mereka orang-orang yang menyembah Allah di mihrab-mihrab.

Mereka tertipu dengan kekuatan yang ada pada individu, kelompok manusia atau negara-negara tertentu yang dianggap kuasa besar. Mereka berlumba-lumba mencari dan mengerumuni kekuatan-kekuatan dan kuasa-kuasa ini seolah-olah kelkatu-kelkatu yang mengelilingi lampu dan berlumba-lumba menjatuhkan dirinya ke dalam api.

Mereka lupa kepada kekuatan dan kuasa Allah Yang Tunggal yang menciptakan seluruh kekuatan dan kuasa-kuasa kecil yang lain. Dialah yang memiliki kekuatan-kekuatan dan kuasa-kuasa ini. Dialah yang mengurnia, mengarah dan menggunakan kekuatan-kekuatan dan kuasa-kuasa ini mengikut hendak iradatNya.

Mereka lupa bahawa perbuatan mencari perlindungan pada kekuatan-kekuatan dan kuasa-kuasa itu, samada yang berada pada tangan individu-individu atau di tangan kelompok manusia atau di tangan negara-negara adalah sama dengan perbuatan mencari perlindungan pada rumah labah-labah iaitu satu serangga yang lemah yang tidak mempunyai sebarang perlindungan dengan sebab kejadiannya yang lemah dan rumahnya yang lemah.

Di sana tidak ada sebarang perlindungan selain perlindungan Allah yang Maha Kuat dan Maha Teguh.

Inilah hakikat agung yang mahu ditanam oleh Al Quran di dalam hati golongan manusia yang beriman. Menyedari hakikat inilah mereka menjadi semakin kuat dari segala kekuatan dan kuasa yang menentang mereka. Malah dengan hakikat inilah mereka telah berjaya menumbangkan pemerintah-pemerintah yang zalim dan menghancurkan kubu pertahanan mereka.

Hakikat agung ini telah tertanam dalam setiap jiwa dan hati mereka dan telah menjadi darah daging mereka.

Kuasa dan kekuatan Allah itulah kuasa dan kekuatan yang sebenar. Naungan dan perlindungan Allah itulah naungan dan perlindungan yang sebenar. Segala kuasa dan kekuatan yang lain adalah kerdil dan lemah belaka walaupun pada pandangan manusia mereka memiliki kekuatan tentera, peralatan, senjata, teknologi dan memiliki pelbagai bentuk penyeksaan, penindasan dan penganiayaan.

Kuasa-kuasa dan kekuatan-kekuatan itu sama dengan labah-labah yang tidak memiliki suatu apa selain dari benang labah-labah seperti firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya rumah yang paling lemah ialah rumah labah-labah jika mereka mengetahui.” ( Surah al Ankabut ayat 41)

Para pendakwah yang menghadapi ujian, penindasan dan godaan amatlah wajar berdiri di hadapan hakikat yang agung ini dan jangan lupakannya walau sesaat ketika mereka berdepan dengan berbagai-bagai kuasa dan kekuatan yang cuba menghentam dan menghancurkan mereka atau cuba memujuk atau membeli mereka.

Rujukan:

Asy Syahid Sayyid Qutb Rahimahullah, Tafsir Fi Zilalil Quran – Di Bawah Bayangan Al Quran Jilid 12, terjemahan Yusoff Zaky Haji Yacob, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 2002

No comments:

Post a Comment