Monday, August 17, 2009

MELATIH DIRI UNTUK BANGUN MALAM

Rasulullah menjelaskan tentang keutamaan ibadah solat di waktu malam yang amat besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Tunaikanlah solat dua rakaat dalam kegelapan malam, demi kesunyian kubur."
Hadis di atas mengisyaratkan agar kita sentiasa berusaha untuk bangun pada sebahagian malam untuk melakukan qiyamulail. Sesuatu yang tidak ringan, sehingga perlu latihan dan membiasakan diri.

Solat malam tidak boleh ditandingi oleh sebarang ibadah. Solat malam membekalkan para mukmin dengan potensi dan daya juang yang tidak dapat digambarkan kehebatannya. Kenyataan ini diperkuatkan oleh firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya jiwa (orang) yang terbentuk di waktu malam itu lebih mantap (keperibadiannya) dan lebih jitu kata-katanya".
(Surah al Muzammil ayat 6)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:
”Hendaklah kalian mengerjakan solat di waktu malam, justeru itu adalah amalan orang-orang yang soleh sebelum kamu dan mendekatkan kamu kepada Tuhanmu. Ia penebus segala dosa, pencegah dari segala keburukan. Ia dapat menghapuskan penyakit yang ada di dalam badan seseorang.” (Hadis riwayat Tabrani dan Tarmizi)

Diriwayatkan bahawa Jibril datang menemui Rasulullah s.a.w. Beliau berkata kepada baginda:
”Hai Muhammad, hiduplah seperti mana yang engkau mahu, namun engkau pasti mati. Berbuatlah apa yang engkau mahu, namun engkau pasti berpisah dengannya. Ketahuilah bahawa keutamaan seseorang mukmin itu ialah dengan qiyamullail (solat malam) manakala kemuliaan nya ialah dengan sikap berdikari (tidak bergantung kepada orang lain).”
(Hadis riwayat Tabrani)

Solat malam dapat membentuk manusia menjadi hamba Allah yang Rabbani, kerap berhubung dengan Allah, berjiwa cerah, mempunyai hati yang peka, kewaspadaan yang tinggi serta berfikiran kritis.

Solat malam tidak akan dapat dijadikan amalan kebiasaan kecuali dengan menggagahkan diri, melawan syaitan dan nafsu khasnya pada peringkat awal. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
”Apabila seseorang hendak menunaikan solat malam, datanglah malaikat seraya berkata kepadanya: ”Bangunlah, hari telah pagi, solat dan ingatlah Tuhanmu”. Syaitan pun datang juga dan memujuknya. ”Malam masih panjang, engkau boleh tidur lagi, nanti engkau boleh bangun”. Kalau ia bingkas dari tempat tidurnya mendirikan solat, maka badannya akan menjadi ringan (cergas) dan sihat. Kalau ia patuh kepada syaitan, tidur hingga ke siang, syaitan akan kencing di dalam telinganya.” (Hadis riwayat Tabrani)

Rasulullah mengaitkan antara solat tengah malam dengan mendapat ketenangan dan kedamaian jiwa di dalam kubur. Baginda menyatakan:
”Orang yang mencerahkan malamnya dengan ibadah dan patuh kepada Allah, nescaya Allah akan menerangkan kuburnnya dengan rahmat dan kurniaanNya.”

Alangkah hebatnya kurnia dan ganjaran Allah terhadap hambaNya. Dengan beberapa raka’at yang dikerjakan di waktu malam, ia boleh selamat dari siksa kubur, kesepian dan kelengangannya (kesunyiannya). Ia merasa sejahtera dan damai.

Selamatlah orang yang tidak nyenyak tidurnya kerana ibadah. Selamatlah mereka dari kesengsaraan kesepian dalam kubur. Sesungguhnya suasana di dalam kubur amat sepi dan penuh dengan penanggungannya.

Rasulullah pernah membayangkan tentang kubur dan siksanya. Baginda menyatakan yang bermaksud:
”Kubur adalah anak tangga pertama ke akhirat. Jika seseorang boleh selamat (dari siksanya), maka peringkat selepas itu akan lebih mudah. Tetapi kalau ia tidak selamat, maka apa yang akan dihadapinya selepas itu lebih payah.”

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:
”Apabila seseorang itu hendak dihimpit di dalam kuburnya dari sebelah kepalanya, maka datanglah ibadat tilawatul Quran (yang telah dilakukan semasa di dunia) menghalangnya. Apabila himpitan itu datang dari depannya, ia dihalang oleh ibadat sedekahnya, dan apabila himpitan itu datang dari arah kakinya, ia dihalang oleh (ibadah) pemergiannya ke masjid-masjid”

Perkara yang perlu dilakukan untuk membiasakan diri untuk bangun malam:

i. Biasakan tidur awal.

Rasulullah telah melarang tidur sebelum solat Isyak dan bercengkerama setelahnya.” (HR Thabrani)

ii. Tidak makan malam terlalu kenyang sehingga memerlukan tidur yang panjang.

Ulamak menyatakan: ”Barangsiapa banyak makan, maka ia akan banyak minum. Barangsiapa banyak minum, maka ia akan banyak tidur. Barangsiapa yang banyak tidur maka ia tidak mempunyai makna dalam kehidupan ini.”

iii. Berwuduk, berdoa dan membaca wirid sebelum tidur.

Hal ini akan melindungi diri dari godaan syaitan yang sentiasa mendorongnya untuk tidur sampai ke pagi. Apabila tidur sampai ke pagi, Rasulullah S.A.W. bersabda: ”Setan telah kencing di kedua telinga orang itu,” (HR Bukhari)

Rasulullah apabila hendak tidur merapatkan kedua telapak tangannya kemudian meniup keduanya seraya membaca, ”Qulhuwallah hu ahad”, ”Qul a’udzu birabbil falaq” dan ”Qul a’uudzu birabbinnaas”. Kemudian beliau mengusapkan kedua telapak tangannya keseluruh bahagian tubuh yang mampu dijangkau. Beliau memulai dengan mengusap kepala, wajah dan bahagian depan badannya. Beliau lakukan hal itu sebanyak tiga kali. (HR Bukhari)

iv. Menggunakan alat bantu seperti jam loceng atau pesan kepada rakan, isteri, keluarga untuk mengejutkan kita sampai menjadi kebiasaan untuk bangun malam sehingga tidak memerlukan alat atau sesiapa untuk mengejutkan kita.

Rujukan:
i. Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah, Fathi Yakan terjemahan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Zawawi Ali, Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam, 1985.

ii. Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah – Refleksi 40 hadith Muwashofat Tarbiyah Untuk Membentuk Profil Kader, Fakhruddin Nursyam, Lc, Penerbit Bina Insani Press, Surakarta, Mac 2006)

BISIKAN BAIK ATAU JAHAT?

Rasulullah bersabda: ”Apabila ada sesuatu yang bergelojak dalam jiwa mu (rasa ragu-ragu/tidak puas hati) maka tinggalkanlah (perbuatan itu)” (HR Ahmad dan Ibn Hibban)

Secara fitrah, manusia memiliki kecenderungan yang kuat untuk melakukan kebaikan dan menjauhkan diri dari keburukan. Namun kekuatan fitrah ini kadang-kadang berhadapan dengan bisikan syaitan atau dorongan hawa nafsu, sehingga timbullah gejolak dalam jiwa. Saat itulah kita harus menentukan sikap. Apabila gejolak jiwa itu cenderung untuk mengajak kepada keburukan, meninggalkan kebaikan, merosakkan izzah (rasa mulia) dan harga diri sebagai muslim, maka kita harus bersegera meninggalkan segala bisikan jahat tersebut.

Namun, kita juga harus menyedari bahawa meninggalkan bisikan jahat ini hendaknya diikuti dengan menguatkan aspek keimanan dengan memperbanyakkan zikir ketika bersendirian, bergaul dengan sahabat yang soleh, mengambil peranan sebagai seorang dai’e ketika berinteraksi dengan orang-orang yang buruk akhlaknya, serta terus menerus meningkatkan ilmu Islam dan berusaha mengamalkannya dalam kehidupan seharian dengan penuh keikhlasan, agar dorongan yang muncul dari dalam jiwa kita selepas itu adalah hammul khair (keinginan kuat untuk melakukan kebaikan). Seseorang mukmin itu selalu hidup di antara perbuatan baik dan niat untuk berbuat baik. Kerana inilah yang membezakan dengan orang-orang yang munafik.

Hadis: ”Barang siapa yang meninggal sedangkan ia tidak pernah berjihad dan tidak pernah meniatkannya di dalam hati maka ia mati di atas salah satu cabang kemunafikan”.

Seringkali gejolak jiwa terjadi pada seorang muslim ketika ia hendak melakukan perbuatan dosa, maksiat atau pun sesuatu yang diharamkan agama untuk pertama kalinya. Saat itu syaitan dan syahwatnya berusaha menjerumuskannya agar melakukan perbuatan tersebut, sedangkan akal dan nurani keagamaannya berusaha menolak ajakan tersebut, sehingga terjadilah pergolakan batin dalam jiwanya.

Hasan Basri berkata: ”Demi Allah, sesungguhnya kami tidak melihat seorang mukmin melainkan ia selalu mencela dirinya. Apa yang kau inginkan dari ucapan yang haram? Apa yang kau inginkan dari makanan yang haram? Apa yang kau inginkan dengan meniatkan sesuatu yang buruk? Adapun seorang penderhaka, maka ia akan melakukan apa saja yang diharamkan, sedangkan ia sama sekali tidak pernah mencela dirinya.”

Nafsu lawwamah adalah nafsu yang mencela pemiliknya atas kebaikan yang ditinggalkannya, sehingga ia menyesali apa yang sudah dilewatkan atau dilalaikan.

Hadis: ”Dosa adalah apa yang bergemuruh dalam hatimu dan engkau takut apabila orang-orang melihatnya (khususnya orang yang menjaga hubungan dengan Allah)”

”Tinggalkanlah apa yang meragukanmu menuju apa yang tidak meragukanmu” (HR Tirmidzi)

Secara fitrah kita menolak perbuatan dosa dan maksiat serta menyukai ketaatan dan kebaikan. Sabda Rasulullah: ”kebaikan itu kebiasaan, sedangkan keburukan itu pemaksaan.” (HR Thabrani)

Ini bererti kebaikan itu boleh diterima dengan mudah oleh seseorang muslim kerana ia sesuai dengan fitrahnya. Manakala keburukan itu sukar diterima kecuali dengan cara paksaan samada oleh kekuatan jahat dari luar mahupun kekuatan jahat dari dalam diri manusia itu sendiri. Hinggakan ketika hendak melakukan maksiat atau meninggalkan ketaatan, maka terjadilah penolakan dari fitrah keagamaan. Akibatnya terjadilah gejolak antara kekuatan kebaikan dan kekuatan keburukan dalam jiwanya.

Pada dasarnya nilai-nilai Islam adalah nilai-nilai yang universal, di mana semua manusia dengan latarbelakang agama apa pun akan menerima nilai Islam sebagai sebuah nilai kebaikan, sehingga bila seorang muslim akan atau telah melakukan pelanggaran terhadap nilai-nilai tersebut, maka ia akan merasa takut diketahui oleh orang lain dan timbullah gejolak dalam jiwanya.

Namun kadangkalanya iman seseorang itu lemah sehingga terlanjur melakukan maksiat, akan tetapi setelah itu ia mendapat kekuatan untuk bangkit melawan bisikan syaitan lalu bertaubat dengan taubat nasuha. Ini akan mempengaruhi jiwanya untuk merasa takut mengulangi kemaksiatan sebagaimana ia takut dilemparkan ke dalam api yang menyala-nyala.

Meskipun begitu ada juga berlaku di mana iman seseorang tidak sempat melawan sehingga timbul gejolak dalam jiwanya, namun imannya yang lemah mengalami kekalahan dan akhirnya ia melakukan perbuatan maksiat. Setelah itu imannya cuba bangkit untuk melawan, namun ia kalah kerana godaan syaitan dan merasai nikmat dalam melakukan maksiat, sehingga ia mengulangi perbuatan maksiat tersebut.

Rasulullah bersabda: ”Tidak ada seorang pun di antara kamu melainkan telah dijadikan untuknya pendamping dari syaitan,” Para sahabat bertanya: ”Apakah engkau juga wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, ”Ya, hanya saja Allah telah menolongku dalam menghadapinya sehingga ia menyerah dan tidak memerintahkanku kecuali kepada kebaikan.”

Oleh itu perlu berwaspada terhadap bisikan syaitan kerana syaitan sentiasa menyeru kepada keburukan. Hanya dengan pertolongan Allah sahaja boleh terselamat daripada bisikan jahat syaitan. Sehubungan itu, kita perlu melakukan amalan yang boleh mengundang pertolongan Allah bagi menyelamatkan kita daripada bisikan syaitan.

Antara perbuatan yang boleh mengundang bantuan Allah dan mengusir bisikan syaitan ialah berzikir.

”Sesungguhnya syaitan meletakkan penutupnya pada hati anak Adam. Jika ia melakukan dzikrullah maka ia akan lari. Jika ia melupakan Allah maka syaitan akan menguasai hatinya.” (HR Abu Ya’la)

Hendaklah kita tidak melakukan atau menyatakan sesuatu yang membuat syaitan semakin sombong dan sewenang-wenang.

Diriwayatkan bahawa ketika Rasulullah terjatuh dari atas keldainya, seorang sahabat yang membonceng dibelakangnya berkata: ”Celakalah syaitan.” Lalu Nabi S.A.W bersabda ,”Kamu jangan berkata , ”celakalah syaitan”, maka syaitan akan menjadi sombong dan berseloroh, ”Dengan kekuatanku aku telah menjatuhkannya,” Apabila kamu mengucapkan, ”Bismillah”, maka ia akan menjadi kerdil hingga seperti seekor lalat dan mudah dikalahkan. (HR Ahmad).
Menyedari bahawa kebaikan itu terletak pada ketaatan kepada hukum Allah, dan keburukan itu terletak pada perlanggaran terhadap perintah dan laranganNya. Kesedaran ini akan melahirkan kemampuan untuk membezakan antara bisikan jahat syaitan dengan suara nurani dan fitrah manusia. Jadi bisikan yang menyeru kepada meninggalkan sesuatu yang wajib atau sunnah dan mengerjakan perkara yang haram atau terlarang, itu adalah bisikan syaitan yang harus kita tinggalkan.

Membersihkan hati dari keinginan duniawi yang rendah sehingga yang mendominasi (menguasai) hati adalah hammul khair, keinginan kuat dan tekad untuk melakukan kebaikan. Hinggakan syaitan tidak memiliki peluang untuk membisikkan kejahatan kepada diri kita. Biasanya syaitan menggoda melalui lintasan fikiran yang dikuasai oleh kecintaan dunia. Namun apabila kita memenuhi pemikiran kita dengan amalan kebaikan dan urusan akhirat maka bererti kita telah menutup pintu syaitan dari menjerumuskan diri kita dengan bisikan jahatnya.

(Rujukan: Syarah Lengkap Arba’in Tarbawiyah – Refleksi 40 hadith Muwashofat Tarbiyah Untuk Membentuk Profil Kader, Fakhruddin Nursyam, Lc, Penerbit Bina Insani Press, Surakarta, Mac 2006)

Monday, August 03, 2009

TANDA-TANDA CINTAKAN ALLAH

Cintakan Allah Subhanahuwata’ala mempunyai tanda-tanda yang dapat dilihat dalam keperibadian hamba-hamba yang cintakan-Nya. Antaranya ialah:

1. Selalu menyebut-Nya (Az-Zikr)

Apabila seseorang mencintai sesuatu maka ia akan sering menyebutnya. Oleh kerana Allah Subhanahuwata’ala yang paling berhak dicintai, maka Dia-lah yang paling layak diingati dan disebut-sebut. Firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Rab-lah mereka bertawakkal.
(Al-Anfal, 8:2)

2. Mengkagumi-Nya (Al-I’jab)

Seseorang itu biasanya mengkagumi keindahan, kehebatan dan kelebihan yang ada pada sesuatu yang dikasihinya. Oleh kerana Allah Subhanahuwata’ala yang memiliki segala sifat kesempurnaan, maka Dia-lah yang paling berhak dikagumi dan dipuji. Firman-Nya:

Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah, Rab alam semesta.
(Al-Fatihah, 1:1-2)

3. Redha terhadap-Nya (Ar-Ridha)

Cinta menyebabkan seseorang itu redha terhadap apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya. Apa saja yang dilakukan oleh kekasihnya, maka menurut pandangannya adalah baik belaka, meski pun mendatangkan kerugian pada harta bendanya. Baginya, yang paling mengembirakan ialah apabila kekasihnya redha kepadanya. Begitulah juga apabila seseorang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, maka ia akan sentiasa mengejar redha-Nya. Firman-Nya:

Mereka (orang-orang munafik) bersumpah kepada kamu dengan (nama) Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan rasul-Nya itulah yang lebih patut mereka cari keredhaannya jika mereka orang-orang yang mukmin.
(A-Taubah, 9:62)

Orang yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala akan membuktikan keredhaannya kepada Allah Subhanahuwata’ala dalam doanya yang tulus (sepertimana doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam):

(Riwayat Abu Daud, Termizi, An-Nasai dan Hakim)

Aku redha dengan Allah sebagai Rab, Islam sebagai din (agama) dan Muhammad sebagai Nabi dan Rasul

Orang yang redha terhadap Allah Subhanahuwata’ala akan bertawakkal kepada-Nya (yakni berserah kepada-Nya), kerana segala ketentuan dan hasil bagi segala usahanya berada di tangan-Nya. Dia akan berpuashati hati di atas segala hasil yang diperolehinya setelah dia berusaha dan berikhtiar dengan sebaik-baiknya. Firman-Nya:

Kerana itu hendaklah kepada Allah saja orang-orang mukmin bertawakkal.
(Ali-Imran : 122)

Firman-Nya lagi:
Bermaksud: “Dan hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal, jika kamu benar-benar orang yang beriman. “
(Surah al-Ma’aidah : 23)

4. Sanggup berkorban untuk-Nya (At-Tadh-hiyah)

Cinta menyebabkan seseorang sanggup berkorban demi memenuhi kehendak kekasihnya. Semakin besar cintanya, maka semakin besar pengorbanan yang sanggup dilakukan. Begitulah kesanggupan seseorang yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, akan bersedia berkorban demi memenuhi kehendak-Nya. Firman-Nya:

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keridhaan Allah, dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya.
(Al-Baqarah, 2:207)

5. Takut kepada-Nya (Al-Khauf)

Seseorang yang mencintai seorang yang lain akan takut kalau-kalau cintanya tak berbalas atau takut seandainya kelakuannya melukakan perasaan kekasihnya. Begitulah keadaan seorang hamba yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, ia akan takut melakukan sesuatu yang mengakibatkan kemurkaan kekasihnya (yakni Allah Subhanahuwata’ala). Firman-Nya:

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada kami dengan harap dan cemas, dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada Kami.
(Al-Anbiya’, 21:90)

Firman-Nya lagi:

Padahal Allah-lah yang berhak untuk kamu takuti, jika kamu benar-benar orang yang beriman.
(Surah at-Taubah : 13)

6. Mengharap kepada-Nya (Ar-Raja’)

Orang yang mencintai seseorang akan mengharapkan balasan cinta daripada kekasihnya. Atau mengharapkan sesuatu pemberian daripada kekasihnya. Begitulah tabi’at insan yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, sentiasa mengharapkan pertolongan, rezeki, kemudahan dan pelbagai anugerah daripada-Nya. Firman-Nya:

Maka apabila kamu telah selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain. Dan hanya kepada Rab-mulah hendaknya kamu berharap.
(Al-Insyirah, 94 : 7-8)

Orang yang mengharapkan Allah Subhanahuwata’ala, akan mengemukakan harapannya di dalam doanya kepada-Nya. Allah Subhanahuwata’ala sememangnya menghendaki agar hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya. Firman-Nya:

Hanya milik Allah asmaa-ul husna (nama-nama yang agung yang sesuai dengan sifat-sifat Allah), maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu.

Firman-Nya lagi:
Berdo’alah kepada-Ku (Allah), niscaya akan Ku (Allah) perkenankan bagimu (do’a kamu semua).
(Ghafir (al-Mu’min) : 60)

Sesungguhnya Allah Subhanahuwata’ala telah menggambarkan iqrar orang yang beriman di dalam ayat 5 surah al Fatihah:

Hanya kepada Engkaulah ( Allah) kami perhambakan diri (برعبودية) (menyembah) dan hanya kepada Engkaulah (Ya Allah) kami mohon pertolongan

7. Ta’atkan-Nya (At-To’ah)

Kerana cinta, seseorang akan sanggup menta’ati semua perintah kekasihnya dan meninggalkan apa yang tidak disukai oleh kekasihnya. Maka begitulah sikap dan kesediaan orang yang cintakan Allah Subhanahuwata’ala, dia akan menta’ati perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Firman-Nya:

Dan taatilah Allah dan rasul, supaya kamu diberi rahmat.
(Ali-Imran : 132)

Firman-Nya lagi:

Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Ali Imran : 31)

Semua tanda-tanda di atas adalah ekspresi dan hasil cintakan Allah Subhanahuwata’ala. Cinta yang termulia dan teragung ialah cintakan Allah Subhanahuwata’ala.

Rujukan:
1) Jasiman, Lc., Syarah Rasmul Bayan Tarbiyah, Auliya Press Solo, Surakata, Indonesia, Cetakan pertama Julai 2005.
2) Ummu Yasmin, Materi Tarbiyah: Panduan Kurikulum Bagi Da’i dan Murabbi, Media Insani, Tunggulsari, Solo, Cetakan kedua Januari 2005.
3) Tim BIP, Materi Tarbiyah Edisi Lengkap: Syarah Rasmul Bayan, Solo, Cetakan pertama Januari 2006.
4) Ustaz Omar Haji Salleh, Khutbah (24 Rabiulawal 1425H, 14 Mei 2004)
5) Hassan al-Banna, Al-Ma’thurat.
6) Afzalur Rahman, Indeks Al-Qur’an.
7) Badartttaman Akasah, Indeks Al-Qur’an.JAKIM, Al-Qur’an dan Terjemahannya.

CINTA

Pengertian Cinta

Cinta adalah perasaan jiwa seperti kegembiraan, kebahagiaan, ketenangan dan pengharapan kepada sesuatu. Cinta juga bermakna keinginan, tarikan dan keterikatan dengan sesuatu. Cinta merupakan perasaan semula jadi (fitrah) yang menjadi satu sifat daripada sifat-sifat manusia.

Sifat Cinta

Sebagaimana sifat hati yang sering berubah-ubah, maka begitu jugalah sifat cinta yang menjadikan hati sebagai tahktanya. Cinta boleh berubah sejajar dengan perubahan hati.

Tanda Hadirnya Perasaan Cinta

Antara tanda hadirnya perasaan cinta ialah:

1. Apabila suka mendengar nama sesuatu yang dicintai itu disebut-sebut.
2. Apabila suka melihat sesuatu yang dincintai.
3. Apabila suka duduk berdekatan atau bersama-sama dengan sesuatu yang dicintai.
4. Apabila suka dengan segala sesuatu yang berkaitan dengan perkara yang dicintai.

Hikmah Percintaan

Hikmah percintaan adalah sebagai ujian dan dugaan bagi manusia. Manusia akan melakukan pelbagai cara dan taktik untuk mendapatkan apa yang dicintai. Namun di sana, ada cinta yang mulia dan ada cinta yang keji. Untuk mendapatkan sesuatu yang dicintai, ada cara-cara yang mulia dan ada pula cara-cara yang keji.

Cinta adalah faktor pemakmuran ‘alam ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Cinta juga adalah faktor penyambungan zuriat dan penerusan kehidupan manusia. Cinta adalah ikatan yang kukuh yang menyatukan umat manusia.

Hakikat percintaan dan kasih sayang yang sebenar adalah percintaan dan kasih sayang yang berdasarkan keimanan kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Darjat-Darjat Percintaan

Allah Subhanahuwata’ala menjadikan manusia dan mengetahui selok belok hati manusia. Islam yang diturunkan-Nya mengiktiraf perasaan cinta sebagai sebahagian daripada fitrah kejadian manusia. Islam telah menggariskan beberapa tingkat atau darjat percintaan, iaitu:

1. Cinta yang agung

Bagi mu’min yang bertaqwa tidak ada suatu pun yang mungkin menyamai kelebihan, kedudukan dan ketinggian cintanya kepada Allah Subhanahuwata’ala, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala:

Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan- Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya", dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At-Taubah : 24)

Seorang mu’min meyakini bahawa Allah-lah Pencipta dan Pemilik alam semesta. Maka dirinya juga adalah milik Allah Subhanahuwata’ala dan wajarlah seluruh kecintaannya hanya untuk Allah Rabbul’alamin. Inilah cinta teragung.

Sepatutnya manusia meletakkan kecintaan yang tertinggi kepada Allah Subhanahuwata’ala kerana Dia telah memilih manusia sebagai makhluk pilihan-Nya. Firman Allah Subhanahuwata'ala:
Dan Rabmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (daripada makhluk-Nya untuk sutau tugas, keutamaan atau kemuliaan), tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapapun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.
(Al-Qasas : 68)

Natijah asas daripada kecintaan yang agung ini ialah redha dengan Allah Subhanahuwata’ala. Firman-Nya:

Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mu’min dan tidak (pula) bagi perempuan yang mu’min, apabila Allah dan rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka, dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya, maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata.
(Al Ahzab : 36)

Seorang mu’min meyakini bahawa apa sahaja yang diputus dan disusun oleh Allah Subhanahuwata’ala adalah yang sebaik-baiknya. Segala penentuan Allah Subhanahuwata’ala benar-benar akan mendatangkan hikmah dan keni’matan kepadanya dan menjauhkannya daripada kerosakan dan kebinasaan. Firman-Nya lagi:


Maka barangsiapa yang mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.
(Taha : 123-124)

Tidak syak lagi bahawa seseorang yang telah mengecapi kelazatan iman di dalam dadanya akan tertarik dengan sepenuh hati untuk mencintai Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya yang telah menyampaikan Risalah-Nya kepada umat manusia.

Lantaran keimanan dan keyakinannya kepada Allah Subhanahuwata’ala dan keyakinannya kepada janji-janji-Nya, maka seorang mu’min akan mencintai jihad untuk menegakkan din-Nya dan meninggikan kalimah tauhid-Nya di muka bumi ini agar seluruh manusia turut merasai ni’mat Islam dan keindahan hidup di bawah naungannya.

Cinta kepada Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam adalah natijah daripada cintakan Allah Subhanahuwata’ala. Inilah tabi’at cintakan Allah yang bertahta di hati para mu’minin.

Marilah kita sama-sama merenung beberapa kisah yang menggambarkan cinta para sahabat Radhiallahu’anhum terhadap Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam.

Kisah 1:

Imam Baghawi meriwayatkan daripada Thauban maula Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam di mana beliau amat kasihkan Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam dan tidak sabar-sabar lagi untuk menatap wajah baginda.

Pada suatu hari Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam datang kepadanya. Ketika itu air mukanya berubah, lalu baginda bersabda: Kenapakah air muka mu berubah wahai Thauban?.

Lalu jawabnya: Wahai Rasulullah, aku tidak sakit tetapi sesungguhnya apabila aku tidak dapat melihat wajahmu maka aku akan keluh kesah sehinggalah aku dapat bertemu denganmu. Kemudian aku teingatkan Hari Qiyamat dan aku bimbang tidak akan dapat melihat kamu kerana kamu akan diangkat bersama-sama para nabi. Sekalipun aku dapat masuk syurga maka aku langsung tidak akan dapat melihat kamu.

Maka turunlah ayat Al-Qur’an berikut (sebagai menjawab persoalan Thauban):

Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya), mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi ni’mat oleh Allah, iaitu: Nabi-nabi, para siddiiqiin, orang-orang yang mati syahid, dan orang-orang saleh, dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
(An-Nisa’: 69)

Kisah 2:

Diriwayatkan daripada Al-Baihaqi bahawa terdapat seorang wanita dari kaum Ansar di mana bapa, suami dan saudaranya terbunuh di dalam medan perang Uhud. Sebaik saja disampaikan berita itu lalu ia berkata: Bagaimanakah Rasulullah?. Maka jawab para sahabat: Baginda dalam keadaan baik seperti yang kamu sukakan. Kata wanita lagi: Tunjukkanlah kepadaku agar aku dapat melihatnya. Setelah beliau melihat baginda lalu beliau berkata: Setiap bencana selepas kamu (selepas kamu terselamat), akan datang kegembiraan.

2. Cinta Pertengahan

Maksud cinta pertengahan ialah tarikan hati, ikatan perasaan dan emosi yang lahir dari ‘aqidah atau iman seseorang insan terhadap keturunan, keluarga, kaum kerabat, harta benda dan sebagainya. Maka hasilnya ia akan berhubung erat dengan apa yang dicintainya itu dengan cara yang diredhai Allah Subhanahuwata’ala.

Allah Subhanahuwata’ala mengiktiraf kesemua perasaan hati ini tetapi ia menduduki tempat yang kedua, iaitu selepas kecintaan kepada Allah, Rasul dan jihad di jalan-Nya.

Contoh-contoh cinta dalam ketegori ini:

Contoh 1: Cinta antara suami isteri


Jika kecintaan suami dan isteri tidak berasaskan ikatan ‘aqidah, maka tentunya zuriat yang lahir tidak akan mendapat pendidikan dan penjagaan iman yang sempurna.

Contoh 2: Cinta antara anak dan ibu bapa

Hubungan anak dan ibu bapa hanya akan menjadi hubungan kerana kepentingan dunia sahaja jika tidak berpaksikan ‘aqidah kepada Allah Subhanahuwata’ala.

Contoh 3: Cinta dalam ummah Islamiyah

Tanpa ikatan ‘aqidah, tidak akan terbangun cinta atau ukhuwah Islamiyah yang akan menghiasi kehidupan dan pembangunan ummah.

Perkara yang perlu dipelihara ialah cinta pertengahan ini tidak boleh mendahului cinta kepada Allah, Rasul dan berjihad di jalan-Nya. Cinta kepada Allah, Rasul dan berjihad di jalan-Nya hendaklah dijadikan keutamaan. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan- Nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan Nya", dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.
(At-Taubah : 24)

Seandainya cinta kepada manusia, harta dan dunia berasaskan hawa nafsu semata-mata (tidak berasaskan ‘aqidah yang benar), maka ia akan menjatuhkan seseorang kepada cinta yang hina.

3. Cinta yang Hina

Cinta yang hina akan menjatuhkan darjat dan nilai kemanusiaan. Antaranya:

Cinta atau kasihkan taghut serta bertuhankan manusia atau makhluk. Contohnya:
a. Cinta atau menyembah patung dan berhala.
b. Cinta serta memuja artis-artis, ahli-ahli sukan dan sebagainya.
Cinta atau kasih terhadap musuh-musuh Allah Subhanahuwata’ala.
Cinta dan menurut kemahuan hawa nafsu atau syahwat yang keji dan berdosa. Ghairah melakukan perbuatan ma’siat.
4. Mengutamakan kasih terhadap ibu bapa, anak-anak, isteri, keluarga, harta kekayaan dan perniagaan melebihi kasihkan Allah Subhanahuwata’ala, Rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya.

قال عمر بن الخطاب-رضي الله عنه والله يا رسول الله لأنت أحب إلي من كل شيء إلا من نفسي, فقال رسول الله صل الله عليه وسلّم, لايؤمن أحدكم حتّى أكون أحبّ إليه من نفسه. فقال عمر : فأنت الآن-والله-أحّب إلي من نفسي, فقال رسول الله: الآن يا عمر.
) رواه البخاري(

Kata Omar bin Al-Khattab Radhiallahu’anhu: ‘Demi Allah, ya Rasulullah sesungguhnya kamu yang paling aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku’. Maka Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam bersabda: ‘Tidak beriman seseorang kamu sehingga aku menjadi orang yang paling dicintai daripada dirinya sendiri’. Maka berkata Omar: ‘Maka engkau sekarang, demi Allah, adalah orang yang paling aku kasihi lebih daripada diriku sendiri’. Sabda Rasulullah: ‘Sekarang barulah engkau beriman ya Omar’.

5. Cinta kepada bisikan syaitan seperti bisikan untuk berhasad dengki, mengumpat dan sebagainya.

Penutup

Oleh itu cinta merupakan perasaan jiwa yang diiktiraf oleh Allah Subhanahuwata’ala. Persoalannya ialah sejauh manakah manusia mengambil neraca Allah Subhanahuwata’ala dalam urusan ini. Sabda Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang berikut boleh dijadikan panduan:

ثلاث من كن فيه وجد حلاوة الإيمان أن يكون الله ورسوله أحبّ إليه ممّا سواهما وأن يحبّ المرء لا يحبّ إلاّ للّه وأن يكره أن يعود في الكفر بعد أن أنقذه الله منه كما يكره أن يقذف في النّار

Tiga perkara siapa yang ada pada dirinya, dia akan merasai kemanisan iman – bahawa ia menjadikan Allah dan Rasul-Nya paling dicintai daripada segala yang lain (melainkan Allah dan rasul). Dan bahawa ia mencintai seseorang, tidak menyintainya melainkan kerana Allah. Dan bahawa ia membenci untuk kembali kepada kekufuran, selepas Allah mengeluarkannya daripada kekufuran, sepertimana ia benci dimasukkan ke dalam api neraka.