Friday, August 22, 2008

Hati Yang Mati

Hati yang mati tidak mengenali Tuhannya, tidak menurut suruhan Allah dan tidak meninggalkan segala laranganNya. Ia selalu menurut hawa nafsu dan kehendak dirinya, walaupun perkara atau perbuatan yang dimurkai dan dibenci Allah.

Ia tidak peduli samada Allah suka atau murka asalkan keinginannya tercapai.. Ia memperhambakan diri kepada hawa nafsu semata-mata. Dalam soal cinta, takut, harap, redha dan benci, pengagungan dan kehinaan tidak mengikut kehendak Allah.
Jika ia membenci maka ia membenci kerana hawa nafsunya. Jika ia menolak maka ia menolak kerana hawa nafsunya. Ia lebih mengutamakan dan mencintai hawa nafsunya daripada keredhaan Tuhannya. Hawa nafsu adalah pemimpinnya, syahwat adalah komandannya, kebodohan adalah pemandunya, kelalaian adalah kenderaannya.

Fikirannya hanya tertumpu untuk mencapai keseronokan duniawi, mabuk oleh hawa nafsu dan kesenangan diri. Pertemuan dengan Allah (kematian) dan hari akhirat itu dianggap terlalu jauh dan tidak bermain di dalam fikirannya. Ia tidak mempedulikan orang yang memberi nasihat, sebaliknya
mengikuti setiap langkah dan keinginan syaitan.

Apabila ia menghadapi musibah atau kesusahan dia berputus asa dan merasa benci untuk hidup. Apabila dibuai dengan hiburan dan keseronokan dunia ia lalai dan alpa. Ia lupa akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah.Tanggungjawab untuk beribadah dan mengabdikan diri kepada Allah semata-mata.

Hawa nafsu membuatnya tuli dan buta.. Hatinya menjadi keras dan mati. Ayat-ayat Allah yang dibacakan tidak memberi apa-apa kesan pada hatinya. Nasihat-nasihat yang diberikan ibarat "mencurah air ke daun keladi".

Segala suruhan Allah begitu berat untuk dilaksanakan. Manakala segala larangan Allah dilakukan tanpa rasa malu atau bersalah. Maksiat dilakukan secara terang-terangan.

Sesungguhnya berkawan dengannya boleh menyebabkan turut 'terjangkit' dengan penyakit itu. Manakala bergaul dengannya juga turut diracun (fikiran) dan menemaninya akan merosakkan akhlak dan peribadi.

No comments:

Post a Comment